DUNIA > BERITA

KERJASAMA PENTING UNTUK TANGANI ISU SERANTAU - MARIS DAN MOHAMAD

18/01/2025 01:10 PM

Oleh Rhoma Ahmad Razali

LANGKAWI, 18 Jan (Bernama) -- Thailand dan Malaysia menekankan kepentingan kerjasama dalam menangani isu-isu mendesak di peringkat serantau dan global, termasuk pemerdagangan manusia serta perpaduan ASEAN.  

Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa dan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan, turut ditanya sama ada ASEAN akan menerima tawaran China untuk membantu negara anggota memperkukuh penguatkuasaan dalam membanteras penipuan dalam talian.  

Maris mengakui bahawa perbincangan berhubung perkara itu masih di peringkat awal.  

“Buat masa ini, kami belum membuat perincian lagi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Mohamad di luar Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di sini, pada Sabtu.

“Apa yang telah dibincangkan dengan rakan baik saya adalah pentingnya bertindak segera. Matlamat kami ialah mencapai hasil yang ketara menjelang akhir tahun ini.

"Jika dapat dilakukan lebih awal, itu lebih baik.

"Sekurang-kurangnya, kami berharap untuk melihat kemajuan dalam kerangka usaha serantau, khususnya dengan kepimpinan Malaysia dalam isu ini,” katanya.

Mohamad turut menyuarakan pandangan yang sama, menekankan potensi ASEAN untuk memacu perubahan bermakna dalam persekitaran global yang semakin kompleks.  

“Hari ini hanya pertemuan hormat. Esok, kami akan membincangkan bagaimana untuk memperkukuh keluarga ASEAN.

"Dengan cabaran geopolitik dan geoekonomi yang melanda dunia, adalah sia-sia jika ASEAN tidak bekerjasama. Sebab itu, keterangkuman dan kemampanan menjadi tema utama kami tahun ini," katanya.

Beliau turut menekankan keperluan perpaduan: “Kita mesti tegas. ASEAN mesti bertindak secara kolektif. Jangan biarkan gangguan luar menjejaskan agenda kita.”  

Kenyataan daripada kedua-dua pemimpin ini mencerminkan komitmen mereka untuk memperkukuh kerjasama serantau dan menangani cabaran bersama demi memastikan ASEAN kekal relevan dan berdaya tahan dalam landskap global yang sentiasa berubah.  

Menurut laporan Pejabat Hak Asasi Manusia PBB (UN) pada 2023, ratusan ribu orang di Asia Tenggara dipaksa oleh sindiket jenayah terancang untuk terlibat dalam kegiatan jenayah dalam talian termasuk penipuan pelaburan percintaan, penipuan kripto dan perjudian haram.  

Laporan itu memetik sumber yang menyatakan sekurang-kurangnya 120,000 orang di Myanmar mungkin terperangkap dalam situasi di mana mereka dipaksa melakukan penipuan dalam talian, sementara anggaran di Kemboja pula sekitar 100,000 orang.  

Negara-negara lain di rantau ini seperti Laos, Filipina dan Thailand juga dikenal pasti sebagai destinasi utama atau transit bagi sekurang-kurangnya puluhan ribu orang yang terlibat dalam situasi ini.  

-- BERNAMA  



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan