DUNIA > BERITA

MAIPS SUMBANG BANTUAN KEPADA PUSAT ISLAM DI NAMIBIA

18/01/2025 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyumbangkan NAD 937,145.45 (RM247,800.00) kepada Pusat Islam Windhoek di Namibia bagi membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat Islam di sana.  

Replika cek sumbangan itu diserahkan oleh Kuasa Usaha Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya kepada Pengerusi Lembaga Pengurusan pusat itu, Salmaan Dhameer Jacoobs dalam satu majlis selepas solat Jumaat pada 17 Jan.

Majlis itu dihadiri kira-kira 500 jemaah termasuk anggota Kor Diplomatik dari Indonesia, Algeria dan Ghana.  

Suruhanjaya Tinggi memaklumkan sumbangan itu akan digunakan untuk menampung kos operasi Pusat Islam Windhoek selama dua tahun serta menyediakan dapur makanan pada setiap Jumaat untuk golongan yang memerlukan.  

Sumbangan itu dijayakan atas titah perkenan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang pernah melawat Namibia pada Julai 2024.  

Dalam ucapannya, Jacoobs berkata bahawa sumbangan ini akan memastikan komuniti Islam yang berjumlah kira-kira 15,000 orang daripada populasi Namibia seramai tiga juta, dapat meningkatkan keadaan sosioekonomi mereka.  

Beliau turut memuji keprihatinan Malaysia dan MAIPs, yang membolehkan umat Islam di Namibia beroperasi dengan lebih baik serta melaksanakan peranan mereka di negara itu.  

Dr Rameez pula berkata sumbangan ini adalah bukti kerjasama dan kolaborasi yang digerakkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek untuk manfaat semua rakyat Namibia tanpa mengira bangsa, agama atau kepercayaan, sekali gus mencerminkan falsafah Malaysia MADANI di peringkat antarabangsa.  

Pusat Islam Windhoek turut memaklumkan bahawa bilik mesyuarat mereka akan dinamakan sebagai Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail Chamber sebagai penghormatan kepada baginda.  

-- BERNAMA  

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan