DUNIA > BERITA

ASEAN 2025: MOHAMAD HASAN PENGERUSIKAN PERMUKIMAN AMM DI LANGKAWI

19/01/2025 08:34 AM

Oleh Massita Ahmad

LANGKAWI, 19 Jan (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mempengerusikan Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM Retreat) pada Ahad di Langkawi, Kedah.  

Mesyuarat ini merupakan acara pertama dalam kalendar tahunan ASEAN bagi peringkat menteri di bawah kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.  

Diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), permukiman AMM ini menghimpunkan menteri-menteri luar dan pegawai kanan dari kesemua 10 negara anggota ASEAN. Menteri Luar Timor-Leste akan turut serta sebagai Pemerhati ASEAN.  

Turut hadir ialah seorang wakil dari Myanmar serta Setiausaha Agung ASEAN.

Dalam mesyuarat ini, Malaysia akan membentangkan bidang keutamaan dan sasaran utama semasa tempoh kepengerusian dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan', memberi tumpuan kepada memperkukuh Komuniti ASEAN melalui tiga tonggak utama: politik-keselamatan, ekonomi, dan sosio-budaya.  

“Ini mencerminkan hasrat Malaysia untuk memupuk ASEAN yang lebih bersepadu, inklusif, dan mampan, sambil memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau,” menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri.

Permukiman itu juga akan membincangkan hala tuju strategik ASEAN serta hubungan luarnya. Selain itu, ia akan menilai tindakan susulan terhadap keputusan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 yang diadakan di Vientiane, Laos, pada Oktober 2024.  

Para menteri luar ASEAN juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa termasuk krisis di Myanmar, ketegangan geopolitik, serta cabaran lain yang memberi kesan kepada keamanan dan kestabilan serantau.  

Menjelang Permukiman AMM, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, merangkap Ketua Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) Malaysia, Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata bahawa isu Myanmar dan ketegangan di Laut China Selatan akan menjadi topik utama perbincangan.  

Krisis Myanmar tertumpu kepada kemelut politik dan kemanusiaan yang berlarutan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, yang telah mencabar perpaduan ASEAN serta prinsip tidak campur tangan dan konsensus dalam menangani kestabilan serantau dan hak asasi manusia.  

Sementara itu, isu Laut China Selatan berkisar kepada tuntutan wilayah dan maritim yang bertindih antara beberapa negara anggota ASEAN dan China, menimbulkan ketegangan mengenai kedaulatan, eksploitasi sumber dan kebebasan pelayaran di rantau ini.  

Dalam mentakrifkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, pengerusi badan pemikir bebas EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin menegaskan bahawa Malaysia perlu memberi tumpuan kepada usaha menyatupadukan negara anggota sambil menghormati kedaulatan dan kepentingan yang pelbagai.  

“Ini selaras dengan visi MADANI Malaysia yang memperjuangkan keterangkuman, integriti dan penyertaan yang saksama,” kata Rais, yang juga pakar dalam dasar serantau.  

Visi ini selari dengan prinsip asas ASEAN, ‘Unity in Diversity’, kata beliau.  

Rais turut menggesa Malaysia untuk mengekalkan hubungan seimbang dengan kuasa besar dan pertengahan, sejajar dengan prinsip berkecuali ASEAN.  

“Menerusi pendekatan ini, Malaysia dapat membantu meredakan persaingan geopolitik dan mengekalkan pemusatan ASEAN dalam kerangka serantau,” katanya.  

Malaysia secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN 2025 pada 1 Januari, kali kelima sejak penubuhan ASEAN pada 1967.  

Lebih 300 mesyuarat dan program utama dijadualkan berlangsung di seluruh negara sepanjang tahun ini.  

Malaysia sebelum ini pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan