Oleh Rhoma Ahmad Razali
LANGKAWI, 19 Jan (Bernama) -- Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) yang diadakan di Langkawi, Kedah melabuhkan tirai dengan jayanya hari ini, sekali gus mengukuhkan status pulau peranginan itu sebagai destinasi pelancongan dan persidangan bertaraf dunia.
Permukiman dua hari itu merupakan satu daripada 32 mesyuarat ASEAN yang dijadual diadakan di pulau pelancongan ikonik yang terletak di wilayah utara Semenanjung Malaysia.
Permukiman AMM itu menandakan pencapaian pertama di bawah Pengerusi ASEAN, Malaysia pada 2025.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan sedang mempamerkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan dan persidangan bertaraf dunia.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada LADA (Lembaga Pembangunan Langkawi) dan agensi lain di Kedah dan Langkawi atas kerjasama erat serta penglibatan aktif dalam menyokong usaha KLN dan memastikan kejayaan mesyuarat ASEAN. KLN mendapat kerjasama yang baik daripada agensi-agensi ini,” katanya selepas tamat permukiman itu.
Sebagai satu daripada destinasi paling popular bagi pelancong domestik dan antarabangsa, Langkawi mempunyai rekod pencapaian cemerlang dalam menganjurkan acara dan persidangan berprofil tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif LADA Datuk Haslina Abdul Hamid dilaporkan berkata sebanyak 132 acara telah dimasukkan dalam Kalendar Acara Langkawi 2025, bertujuan memperkukuh industri pelancongan pulau itu sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Kedah 2025.
Kerajaan negeri Kedah juga telah menetapkan sasaran bercita-cita tinggi untuk menarik 3.5 juta pelancong domestik dan antarabangsa ke Langkawi pada tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial