DUNIA > BERITA

SPEAKER DEWAN RAKYAT BINCANG KERJASAMA ASEAN BERSAMA RAKAN SEJAWAT DI SINGAPURA

20/01/2025 10:21 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 20 Jan (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul bertemu dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Seah Kian Peng  di sini pada Isnin sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi ke negara anggota ASEAN yang bertujuan mengukuhkan hubungan dan membincangkan kerjasama strategik antara institusi parlimen di rantau ini.

Johari, yang juga Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46, berkata pertemuan ini bagi  membincangkan beberapa isu utama, termasuk kerjasama dalam kalangan negara anggota berkenaan  tenaga boleh diperbaharui, keterjaminan makanan, dan inovasi.

“Bagaimana kita dapat memaksimumkan potensi tenaga boleh diperbaharui? Negara-negara Asia Tenggara mempunyai semua elemen untuk meneroka keupayaan ini.

“Dari segi keselamatan makanan, kita boleh menggabungkan kepakaran untuk memaksimumkan keupayaan, manakala untuk inovasi, kita boleh bekerjasama mempertingkatkan pengetahuan teknikal dengan memanfaatkan AI (kecerdasan buatan) untuk memacu ekonomi,” katanya kepada Bernama selepas pertemuan di sebuah hotel di sini.

Mereka turut membincangkan peranan badan perundangan, seperti Parlimen, dalam menyokong kerajaan memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan pertukaran antara rakyat sesama negara ASEAN bagi memperkukuh blok serantau itu.

Dalam pertemuan itu, Johari turut secara rasmi menjemput Seah ke Perhimpunan Agung AIPA ke-46 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada September ini.

Malaysia juga akan menjadi tuan rumah untuk beberapa mesyuarat AIPA lain tahun ini, termasuk Mesyuarat Keempat Jawatankuasa Penyelarasan Ahli Parlimen Wanita AIPA di Sarawak, Mesyuarat Perundingan Kedua Ahli Parlimen Muda AIPA di Selangor, dan Mesyuarat Kelapan Majlis Penasihat AOPA Mengenai Dadah Berbahaya di Melaka.

Johari berkata agenda AIPA tahun ini akan melengkapi tema Kepengerusian ASEAN yang disandang Malaysia tahun ini, iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan.”

Selepas Singapura, Johari akan melawat Brunei, Filipina, dan Indonesia sebagai sebahagian daripada lawatan beliau ke negara ASEAN.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan