WASHINGTON, 24 Jan (Bernama-UPI) -- Dokumen persekutuan berkaitan beberapa pembunuhan berprofil tinggi pada tahun 1960-an akan tersedia sepenuhnya kepada umum tahun ini selepas Presiden Donald Trump pada Khamis mengarahkan pelepasan dokumen berkenaan, lapor United Press International (UPI).
"Lebih 50 tahun selepas pembunuhan Presiden John F. Kennedy (JFK), Senator Robert F. Kennedy (RFK), dan Reverend Dr Martin Luther King Jr (MLK), Kerajaan Persekutuan masih belum mendedahkan semua rekod berkaitan kejadian itu kepada orang ramai," kata Trump dalam perintah eksekutif yang mengubah status dokumen-dokumen berkenaan.
"Keluarga mereka dan rakyat Amerika berhak mendapatkan ketelusan dan kebenaran.
Adalah demi kepentingan negara untuk akhirnya mendedahkan semua rekod berkaitan pembunuhan ini tanpa penangguhan," kata Trump.
Akta Rekod Pembunuhan Presiden John F. Kennedy 1992 mewajibkan Kerajaan Persekutuan untuk mendedahkan sepenuhnya semua rekod berkaitan menjelang 26 Oktober 2017.
Akta itu membolehkan presiden untuk menangguhkan pendedahan maklumat yang boleh menjejaskan keselamatan negara, operasi perisikan, penguatkuasaan undang-undang, atau hubungan luar.
Trump dan Presiden Joe Biden sebelum ini membenarkan beberapa maklumat dalam rekod berkenaan disusun dan menangguhkan pelepasan beberapa dokumen.
"Saya kini mendapati bahawa penyusunan dan penahanan maklumat daripada rekod berkaitan pembunuhan Presiden John F. Kennedy tidak selari dengan kepentingan awam," kata Trump dalam perintah eksekutif pada Khamis. "Pelepasan rekod ini telah lama tertangguh."
Trump memberi masa 15 hari kepada peguam negara dan pengarah perisikan negara untuk mengemukakan pelan bagi pelepasan penuh rekod berkaitan pembunuhan Presiden Kennedy.
Mereka juga diberi 45 hari untuk mengemukakan pelan bagi pelepasan dokumen berkaitan pembunuhan Senator Robert F. Kennedy dan Reverand Dr Martin Luther King Jr.
Selepas menandatangani perintah eksekutif itu, Trump mengarahkan seorang pembantu untuk memberikan pen yang digunakan kepada Robert F. Kennedy Jr, yang telah dicalonkan sebagai Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Awam dalam Kabinetnya, lapor CBS News.
Menurut Pentadbiran Arkib dan Rekod Negara (NARA), sebahagian besar rekod berkaitan pembunuhan Presiden Kennedy telah pun didedahkan kepada umum, dengan 97 peratus daripada lima juta muka surat telah tersedia.
Perintah eksekutif itu memerlukan pelepasan 3,000 dokumen yang belum didedahkan dan disertakan maklumat yang disusun dalam 30,000 dokumen lain.
Presiden Kennedy dibunuh di Dallas pada 22 November 1963, King dibunuh di Memphis pada 4 April 1968 dan Robert Kennedy dibunuh di Los Angeles pada 5 Jun 1968.
-- BERNAMA-UPI
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial