DUNIA > BERITA

ASEAN BERDEPAN KEBIMBANGAN AKIBAT KADAR KELAHIRAN, KESUBURAN MENURUN

26/01/2025 01:39 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 26 Jan (Bernama) -- Kebimbangan besar yang menyelubungi latar belakang kemakmuran ekonomi ASEAN, selain perubahan iklim ialah penurunan kadar kelahiran dan kesuburan yang boleh mengganggu prospek pertumbuhannya.

Memandangkan lebih sedikit bayi yang dilahirkan di Asia Tenggara akibat perubahan gaya hidup dan urbanisasi, keadaan itu boleh menjadi masalah terhadap produktiviti ekonomi.

Walaupun ASEAN merupakan sebuah rantau yang padat dengan kira-kira 670 juta penduduk, kerajaan di Asia Tenggara perlu menangani peralihan demografi kepada populasi yang semakin tua dan penurunan kadar kelahiran, menurut pakar.

Menurut laporan “ASEAN Key Figures 2023”, ASEAN merupakan rantau ketiga paling ramai penduduk di dunia, selepas India dan China.

Timbalan Editor ASEAN Briefing Ayman Falak Medina berkata perubahan iklim dan penurunan kadar kelahiran adalah isu yang perlu diberi perhatian bagi memastikan prospek pertumbuhan rantau ini.

“Walaupun perubahan iklim akan menjadi cabaran untuk ASEAN, saya percaya cabaran lebih besar adalah menangani penurunan kadar kelahiran dan kesuburan kerana ia akan memberi kesan kepada produktiviti keseluruhan, seterusnya keupayaan setiap negara untuk menangani perubahan iklim.

“Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia semuanya sedang mengalami perubahan demografi disebabkan populasi yang semakin tua,” katanya kepada Bernama melalui temu bual e-mel. (ASEAN Briefing ialah penerbitan oleh firma perkhidmatan korporat antarabangsa, Dezan Shira and Associates.)

Pakar menyatakan penurunan populasi boleh memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial, kekurangan tenaga kerja serta populasi belia yang semakin berkurangan. Namun, ada juga yang berpendapat bahawa penurunan kadar pertumbuhan penduduk mempunyai kesan positif.

Antaranya ialah peningkatan kualiti hidup, kurang tekanan kewangan dan kurang permintaan terhadap sumber semula jadi utama seperti tenaga, tanah dan air.

Menjelang 2030, seorang daripada empat penduduk Singapura akan berusia 65 tahun atau lebih, manakala Thailand menjangkakan 25 peratus daripada penduduknya akan mencapai usia ini menjelang 2040. Vietnam juga berada pada trajektori yang sama, dengan hampir 30 peratus penduduknya diunjurkan berumur 60 tahun atau lebih menjelang 2050.

“Penuaan populasi di Malaysia lebih perlahan, dengan 14.5 peratus penduduknya dijangka berumur 65 tahun ke atas menjelang 2040. Indonesia, Brunei, Kemboja, Myanmar dan Laos juga sedang bersiap sedia menghadapi populasi yang semakin tua,” katanya.

Menurut laporan ASEAN, rantau ini sedang menghadapi peralihan demografi apabila kadar kesuburan keseluruhan (TFR) menurun sejak sedekad lepas.

“Penurunan TFR untuk tempoh tertentu boleh menggalakkan pertumbuhan ekonomi kerana ia membawa kepada pengurangan dalam bahagian populasi kanak-kanak dan peningkatan bahagian populasi usia bekerja.

“Dalam jangka masa panjang, terutamanya jika kesuburan terus menurun, bilangan populasi usia bekerja akan berkurangan manakala bilangan warga emas akan meningkat, menyebabkan populasi yang semakin tua.

“Keadaan ini mungkin meningkatkan beban ekonomi termasuk kos penjagaan kesihatan dan keselamatan sosial,” menurut laporan itu.

Pelaburan kerajaan dalam perlindungan sosial, pelaksanaan dasar yang menggalakkan kadar kelahiran, penjagaan warga emas dan kesihatan akan menjadi elemen penting kerana rantau ini mengalami gelombang penuaan populasi.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan