DUNIA > BERITA

5 MAUT, RATUSAN TERJEJAS AKIBAT TANAH RUNTUH, BANJIR DI INDONESIA

28/01/2025 02:59 PM

JAKARTA, 28 Jan (Bernama) -- Lima orang maut dan beberapa lagi cedera akibat tanah runtuh dan banjir yang disebabkan hujan lebat di seluruh Indonesia, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) ketika negara itu memasuki minggu terakhir Januari.

Menurut jurucakap BNPB Abdul Muhari, pasukan tindak balas kecemasan telah dikerahkan ke kawasan terjejas untuk membantu masyarakat setempat serta meneruskan usaha mencari dan menyelamat.

Pada 26 Jan, kejadian tanah runtuh di Mamuju, Sulawesi Barat mengakibatkan empat orang maut dan sekurang-kurangnya empat yang lain cedera selepas hujan lebat menyebabkan tanah runtuh.

Abdul Muhari memaklumkan bahawa operasi pencarian terpaksa dihentikan sementara kerana cuaca buruk dan keadaan rupa bumi berbahaya, yang meningkatkan risiko kejadian tanah runtuh susulan.

"Apabila keadaan bertambah baik, usaha diteruskan termasuk usaha untuk membersihkan jalan yang terhalang," menurut jurucakap itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tanah runtuh berasingan di Tasikmalaya, Jawa Barat, pada hari yang sama, mengorbankan seorang penduduk, merosakkan sebuah rumah  dan menyebabkan tiga rumah lain berisiko runtuh.

Banjir teruk di daerah Tapin, Kalimantan Selatan pada 25 Jan turut menjejaskan 179 rumah dengan paras air antara lima hingga 20 sentimeter, namun air kini dilaporkan semakin surut.

Pada 26 Jan, hujan lebat menyebabkan banjir di Bima, Nusa Tenggara Barat, yang menjejaskan 395 keluarga manakala di Pasuruan, Jawa Timur hujan lebat mengakibatkan 393 rumah dinaiki air antara 10 hingga 40 sentimeter.

Abdul Muhari berkata banjir di Tulang Bawang, Lampung yang berpunca daripada limpahan sungai, menjejaskan 379 keluarga, menenggelamkan 470 hektar sawah padi dan menjejaskan tiga sekolah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan