DUNIA > BERITA

DELEGASI HAMAS TIBA DI MESIR BINCANG KEMAJUAN GENCATAN SENJATA GAZA, PERTUKARAN TAHANAN

28/01/2025 03:40 PM

BANDARAYA GAZA (Palestin), 28 Jan (Bernama-AA) -- Kumpulan Palestin, Hamas pada Isnin memaklumkan bahawa delegasi kanan yang diketuai Mohamed Darwish, Ketua Majlis Syura kumpulan itu telah tiba di Mesir bagi lawatan rasmi untuk membincangkan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata Gaza dan pertukaran tahanan dengan Israel, lapor Agensi Anadolu (AA).

“Delegasi kanan Hamas tiba petang ini di ibu negara Mesir, Kaherah, bagi lawatan rasmi yang diketuai Mohamed Darwish, pengerusi majlis kepimpinan,” menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Menurut Hamas, delegasi itu dijadualkan bertemu dengan pegawai Mesir untuk meneliti perkembangan terkini pelaksanaan perjanjian gencatan senjata serta pertukaran tahanan tiga fasa.

Perjanjian gencatan senjata, yang berkuat kuasa pada 19 Jan, termasuk perjanjian untuk menukar tawanan Israel yang ditahan di Gaza dengan tahanan Palestin di penjara Israel.

Di bawah fasa pertama perjanjian yang berlangsung selama 42 hari, Hamas akan membebaskan 33 tawanan Israel --baik yang masih hidup mahupun sudah meninggal dunia -- manakala Israel akan membebaskan antara 1,700 hingga 2,000 tahanan Palestins ecara berperingkat. Rundingan bagi dua fasa berikutnya akan bermula pada hari ke-16 gencatan senjata.

Pertukaran awal yang dilaksanakan pada hari pertama perjanjian menyaksikan pembebasan tiga wanita Israel sebagai tawanan dengan 90 tahanan Palestin, termasuk kanak-kanak dan wanita, kebanyakannya dari Tebing Barat dan Baitulmuqaddis yang diduduki .

Hamas menyatakan bahawa delegasi itu turut akan bertemu tahanan Palestin yang dibebaskan pada Sabtu.

Menurut kumpulan itu, delegasi Hamas berkenaan termasuk ahli kanan majlis kepimpinan dan pasukan perundingnya: Khaled Meshaal, Khalil al-Hayya, Zaher Jabarin, Nizar Awadallah, Mohammed Nasser dan Ghazi Hamad.

Perjanjian gencatan senjata Gaza berkuat kuasa pada 19 Jan, menghentikan sementara serangan genosid Israel yang telah meragut lebih 47,300 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 111,400 sejak 7 Okt 2023.

Serangan Israel itu menyebabkan lebih 11,000 orang hilang, dengan kemusnahan meluas dan krisis kemanusiaan yang turut meragut nyawa ramai warga emas serta kanak-kanak, menjadikannya satu daripada bencana kemanusiaan global paling teruk pernah berlaku.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lepas terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung konflik di wilayah itu.

-- BERNAMA-AA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan