DUNIA > BERITA

KEBAKARAN DI SELATAN CALIFORNIA TERKAWAL SEPENUHNYA SELEPAS 24 HARI

01/02/2025 08:48 PM

ANKARA, 1 Feb (Bernama-AA) -- Kebakaran liar di Eaton dan Palisades, Selatan California yang memusnahkan ribuan hektar tanah serta menyebabkan kemusnahan besar akhirnya berjaya dikawal sepenuhnya selepas 24 hari, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik media tempatan pada Jumaat.

Kebakaran yang tercetus pada 7 Jan itu dipacu oleh keadaan kemarau melampau serta angin kencang.

Kebakaran Palisades bermula di Pacific Palisades, timur Malibu, sebelum merebak dengan pantas, manakala kebakaran Eaton bermula di kaki bukit Hutan Negara Angeles sebelum merebak ke Altadena.

Sekurang-kurangnya 29 orang terkorban dalam kejadian itu, dengan 17 kematian dikaitkan dengan kebakaran Eaton dan 12 lagi akibat kebakaran Palisades, menurut Pemeriksa Perubatan Daerah Los Angeles seperti dilaporkan NBC News.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca kebakaran.

Menurut Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (Cal Fire), kebakaran Palisades memusnahkan 9,489 hektar, mengakibatkan 6,837 struktur musnah dan lebih 1,000 lagi rosak.

Sementara itu, kebakaran Eaton menjejaskan 5,674.1 hektar, termasuk hampir 1,618.7 hektar kawasan bandar, memusnahkan 9,418 struktur, termasuk bangunan bersejarah di Altadena.

Hujan lebat awal minggu ini, yang pertama dalam beberapa bulan, membantu pasukan bomba mengawal kebakaran itu.

“Hujan di seluruh Selatan California telah mengurangkan risiko kebakaran dengan ketara,” kata Ketua Cal Fire Joe Tyler seperti dipetik media tempatan.

-- BERNAMA-AA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan