WASHINGTON, 4 Feb (Bernama-UPI) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin menandatangani perintah eksekutif bagi menubuhkan dana kekayaan berdaulat milik kerajaan dan berkemungkinan digunakan untuk membeli aplikasi media sosial TikTok, lapor United Press International (UPI).
Trump melantik Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent dan calon Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick untuk menerajui penubuhan dana berkenaan yang memerlukan kelulusan Kongres.
"Ia satu perkembangan yang sangat menarik.
"Kita akan memiliki dana kekayaan berdaulat, sesuatu yang kita tidak pernah ada sebelum ini. Kita memiliki banyak aset yang mencipta kekayaan, dan dalam tempoh dua minggu lalu, saya rasa kita telah mencipta lebih banyak kekayaan," kata Trump ketika majlis menandatangani perintah di Pejabat Oval.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai sumber dana itu tidak didedahkan. Lazimnya, dana kekayaan berdaulat melibatkan pelaburan dalam saham, bon, hartanah, infrastruktur dan ekuiti persendirian.
Trump juga berkata bahawa dana itu boleh digunakan untuk mengambil alih TikTok, yang dikaitkan dengan risiko keselamatan data pengguna kerana pengaruh syarikat induknya, ByteDance yang berpangkalan di Beijing.
"Kita mungkin akan melakukan sesuatu dengan TikTok, dan mungkin juga tidak. Jika kita mendapat tawaran yang betul, kita akan lakukannya, jika tidak, kita tidak akan lakukan. Tetapi saya mempunyai hak untuk melakukannya,"
"Kita juga mungkin memasukkan TikTok dalam dana kekayaan berdaulat, bergantung kepada keadaan. Atau kita boleh menjalinkan kerjasama dengan individu yang sangat kaya. Banyak pilihan yang ada, tetapi kita boleh menjadikannya sebagai sebahagian daripada dana itu," katanya.
Trump sebelum ini menandatangani perintah eksekutif pada hari pertama pentadbirannya dengan menangguhkan penguatkuasaan undang-undang selama 75 hari, mengarahkan syarikat induk TikTok di China melepaskan pegangan mereka dalam aplikasi itu.
-- BERNAMA-UPI
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial