DUNIA > BERITA

KEPENGERUSIAN ASEAN-MALAYSIA: PLATFORM UNTUK KEPIMPINAN, BUKAN KERAGUAN - AHLI PARLIMEN PJ

05/02/2025 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 harus dilihat sebagai satu peluang dan bukannya punca keraguan, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya (PJ) yang juga Pengarah Komunikasi Nasional Keadilan, Lee Chean Chung.

"Kepimpinan Malaysia dalam ASEAN harus dilihat sebagai satu peluang, dan saya secara peribadi menyokong inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh yang menarik ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook sebagai respons kepada sebuah artikel pendapat baru-baru ini.

"Itulah sebabnya saya kecewa apabila membaca hujah dangkal seorang ahli akademik yang memberikan penilaian negatif terhadap permulaan kepengerusian Malaysia, yang menyusuli penggal sebelumnya pada 1977, 1997, 2005 dan 2015," katanya.

Lee menolak kritikan terhadap peranan Malaysia dalam menerajui ASEAN, dengan menegaskan bahawa Anwar bersedia memimpin blok serantau itu berdasarkan tema 2025, “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Keutamaan utama termasuk menangani pertikaian di Laut China Selatan serta krisis berterusan di Myanmar.

Malaysia, katanya, akan menganjurkan lebih 300 mesyuarat dan program penting sepanjang tahun ini sambil menggerakkan inisiatif dalam bidang kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, pelancongan dan penjagaan kesihatan.

Beliau turut menekankan bahawa pada Mei 2025, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Plus China yang julung kali diadakan.

"Jangan silap, ini adalah masa yang penuh cabaran tetapi juga menarik, kerana negara kita membantu mengemudi sensitiviti geopolitik serta potensi rantau yang dihuni hampir 700 juta penduduk.

"Timor-Leste hampir mencapai keahlian penuh ASEAN, setelah mengambil bahagian secara aktif dalam hal ehwal kumpulan itu sejak diberikan status pemerhati pada 2022," katanya.

Pada Selasa (4 Feb), Duta Besar Timor-Leste ke Malaysia, Lisualdo Gaspar, berkata negaranya berada di peringkat akhir untuk menjadi anggota penuh ASEAN selepas memenuhi kira-kira 70 peratus daripada kriteria yang ditetapkan.

Menilai kebarangkalian untuk keanggotaan penuh ASEAN tahun ini, beliau memberinya penilaian “7 hingga 8 daripada 10.”

"Menyertai ASEAN adalah keutamaan utama bagi kami. Kami telah menunjukkan komitmen menerusi kemajuan yang ketara dan berharap di bawah kepengerusian Malaysia, penyertaan kami akan direalisasikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual menerusi program “The Nation: Diplomatic Dispatch” terbitan Bernama TV, di sini.

Sementara itu, Lee turut menepis kritikan terhadap pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, sebagai penasihat ASEAN oleh Anwar, dengan menyifatkannya sebagai langkah bijak berdasarkan pengalaman dan kelayakan Thaksin dalam membantu menangani isu di Indochina dan Myanmar.

"Memang benar bahawa banyak isu memerlukan penglibatan, termasuk perkembangan demokrasi di beberapa kawasan paling tidak stabil di ASEAN.

"Negara anggota juga perlu merundingkan pertukaran perdagangan serta mengemudi kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, selain menangani situasi seperti perang di Palestin.

"Perdana Menteri telah menunjukkan keupayaan dalam diplomasi serta kepimpinan dalam situasi yang mencabar ini," katanya.

Lee turut berkongsi penglibatannya dalam advokasi berkaitan ASEAN, termasuk penyertaannya dalam Mesyuarat Ahli Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia (APHR) tiga bulan lalu.

Bersama Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, mereka membincangkan strategi berkaitan "keadilan perubahan iklim, krisis di Myanmar serta kemajuan hak asasi manusia di peringkat tempatan," tambahnya dalam hantaran tersebut.

Beliau turut merujuk kepada sokongan APHR terhadap petisyen kumpulan alam sekitar di Filipina yang membantah projek tambakan di Teluk Manila.

"Ini adalah respons langsung terhadap kerosakan alam sekitar yang meluas serta kesan buruk ke atas komuniti nelayan dan kawasan pesisir," katanya.

Sebagai Timbalan Pengerusi Ahli Parlimen Asia Tenggara Menentang Rasuah (SEAPAC), Lee menegaskan perlunya kerjasama serantau yang lebih kukuh bagi membanteras rasuah.

"Secara keseluruhan, saya gembira dapat menyumbang kepada usaha memajukan hak asasi manusia, memerangi rasuah dan keadilan alam sekitar di rantau ini," katanya sambil menggesa rakyat Malaysia agar bersikap positif.

"Saya juga menyeru rakyat kita melihat ini sebagai peluang besar dan bukannya terus membuat kesimpulan negatif secara melulu," katanya.

Di bawah kepimpinan Malaysia ketika ini, negara dijangka membimbing perbincangan mengenai keselamatan serantau, kerjasama ekonomi dan diplomasi, serta membentuk visi jangka panjang ASEAN.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan