ATHENS, 6 Feb (Bernama-AA) -- Belanda melarang penjawat awam daripada menggunakan DeepSeek, chatbot kecerdasan buatan (AI) dari China, menurut laporan media tempatan.
Larangan itu dikenakan oleh Setiausaha Negara bagi Hubungan Kerajaan dan Digitalisasi, Zsolt Szabo, atas alasan kemungkinan aktiviti perisikan, lapor Agensi Anadolu memetik penyiar awam NOS pada petang Rabu.
Di tengah dakwaan bahawa DeepSeek menyimpan maklumat peribadi untuk dikongsi dengan pihak berkuasa negara China, Pihak Berkuasa Perlindungan Data Belanda juga menggesa orang ramai untuk berhati-hati dalam penggunaannya pada Jumaat lalu.
"Orang ramai seharusnya bertanya kepada diri mereka sendiri sama ada mereka benar-benar ingin memasukkan data peribadi dan sensitif ke dalam aplikasi ini," kata pihak berkuasa tersebut.
Awal minggu ini, Korea Selatan dan Australia turut melarang pegawai di jabatan tertentu daripada menggunakan DeepSeek.
Model terbaru DeepSeek dikeluarkan kepada orang ramai pada penghujung Januari, menyebabkan harga saham teknologi AS merosot.
Syarikat itu mendakwa chatbotnya, yang bersaing dengan platform utama seperti ChatGPT dari OpenAI, dilatih dengan kos yang jauh lebih rendah berbanding model-model sebelumnya dan menggunakan cip semikonduktor yang kurang canggih.
DeepSeek juga mengatakan produknya menggunakan kurang memori dan tenaga berbanding pesaingnya, menjadikannya lebih murah untuk dikendalikan.
Tidak lama selepas chatbot China itu dikeluarkan, ia menjadi aplikasi percuma yang paling banyak dimuat turun di App Store Apple - satu kejadian yang jarang berlaku untuk aplikasi dari China.
-- BERNAMA-AA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial