DUNIA > BERITA

CHINA, BRUNEI ZAHIR KOMITMEN PERKUKUH KERJASAMA DAN KOORDINASI

07/02/2025 05:21 PM

BEIJING, 7 Feb (Bernama-CMG) -- China dan Brunei perlu terus memperdalam kerjasama yang saling menguntungkan dan memperkukuh koordinasi yang strategik.

Demikian ujar Presiden China Xi Jinping semasa mengadakan perbincangan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Dewan Besar Rakyat di sini pada Khamis.

Xi berkata kedua-dua negara harus meningkatkan penyelarasan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan Wawasan 2035 Brunei, serta memajukan dua projek utama iaitu Koridor Ekonomi Guangxi-Brunei dan projek Petrokimia Hengyi.

Selain menggalakkan lebih banyak syarikat domestik melabur di Brunei, China akan menyokong usaha Brunei dalam pembangunan ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan industri tenaga baharu serta membantu negara itu mencapai kepelbagaian ekonomi.

Xi menyatakan China menyokong usaha sama kedua-dua pihak dalam melaksanakan penyelidikan padi hibrid, dan berharap Brunei mengoptimumkan platform seperti Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) dan Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) untuk memperluas eksport hasil pertanian dan perikanan berkualiti ke China.

Antara aspek lain yang turut diberikan penekanan adalah merapatkan lagi pertukaran sosiobudaya, memperkasa kerjasama membabitkan pendidikan, budaya, pelancongan dan sukan.

Sementara itu, Sultan Hassanal Bolkiah menzahirkan komitmen Brunei untuk mengukuhkan perkongsian kerjasama strategik dengan China sehingga membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Baginda bertitah pihaknya akan mempertingkat kerjasama dengan China dalam bidang perdagangan, pertanian, perikanan dan tenaga serta merancakkan lagi pertukaran rakyat-ke-rakyat, selain bersama China memelihara kepentingan negara-negara membangun.

Dilaporkan, Sultan Hassanal Bolkiah akan bersama Presiden Xi serta pemimpin beberapa negara lain menghadiri upacara perasmian Sukan Musim Sejuk Asia (AWG) ke-9 yang dijadual berlangsung di bandar Harbin pada malam Jumaat.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan