Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan agensi berita Cuba, Prensa Latina menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama media antara kedua-dua negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata kerjasama itu mengukuhkan peranan Bernama sebagai pemain berita global, memastikan laporan yang tepat dan berwibawa mengenai Malaysia dapat diakses oleh khalayak antarabangsa.
“Perkongsian ini menggariskan komitmen Bernama dalam memperkukuh hubungan media antarabangsa, meluaskan jangkauan global serta meningkatkan pertukaran berita antara Malaysia dan Cuba,” katanya kepada Bernama selepas majlis menandatangani perjanjian itu hari ini.
Nur-ul Afida menandatangani MoU itu bagi pihak Bernama, manakala Duta Cuba ke Malaysia Florentino Batista Gonzalez, mewakili Prensa Latina.
Majlis itu turut disaksikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari Cuba, Bruno Eduardo Rodriguez Parrilla bersama pegawai kerajaan dan diplomat lain.
Nur-ul Afida menekankan bahawa perjanjian itu sejajar dengan hubungan dua hala yang semakin berkembang antara kedua-dua negara merentasi pelbagai sektor termasuk teknologi dan ekonomi.
“Prensa Latina melihat peranan Bernama dalam membantu pengedaran kandungan, khususnya bahan berita dan foto kepada masyarakat Cuba menerusi agensi berita itu.
“Perbincangan dengan Duta Cuba ke Malaysia baru-baru ini turut menekankan bagaimana MoU itu akan membolehkan kedua-dua agensi memperluas liputan berita mengenai negara masing-masing,” katanya.
Beliau berkata pemeteraian MoU ini juga bertepatan dengan lawatan Menteri Luar Cuba ke Malaysia serta sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Nur-ul Afida turut berharap kerjasama ini akan membuka peluang kepada Bernama untuk lebih dikenali dalam kalangan organisasi media di Cuba, selain memudahkan pertukaran wartawan dan jurugambar pada masa hadapan.
Seiring dengan kemajuan pesat industri media dan perkembangan teknologi baharu, beliau berkata adalah bermanfaat bagi Bernama memahami cara pengamal media di Cuba beroperasi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerjasama berkenaan turut memberi peluang kepada Bernama untuk menonjolkan peranannya sebagai agensi berita di bawah Kementerian Komunikasi Malaysia dengan mengetengahkan perkembangan negara yang boleh meningkatkan reputasi Malaysia di peringkat global.
MoU terbabit menetapkan rangka kerja untuk kerjasama antara Bernama dan Prensa Latina dalam pelbagai bidang, termasuk pertukaran berita dan kandungan.
Kedua-dua agensi akan berkongsi laporan berita, program khas dan dokumentari dengan memastikan penghargaan diberikan kepada sumber asal, selain memastikan sebarang suntingan, terjemahan atau adaptasi mengekalkan makna serta maksud asal.
Selain itu, perjanjian berkenaan turut membuka ruang bagi inisiatif bersama dalam penyelidikan media, perkhidmatan perundingan dan penghasilan kandungan.
Perjanjian itu berkuat kuasa selama dua tahun dan akan diperbaharui secara automatik, melainkan mana-mana pihak memutuskan sebaliknya. Perundingan berkala juga akan diadakan bagi menilai keberkesanannya serta meneroka penambahbaikan.
Sementara itu, acara itu turut menyaksikan pertukaran nota dalam latihan diplomatik antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) dengan Institut Perhubungan Antarabangsa Tinggi Cuba.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial