DUNIA > BERITA

MALAYSIA PAMER MASAKAN DAN BUDAYA SEMPENA FESTIVAL SEMINGGU DI NEW DELHI

17/02/2025 09:51 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 17 Feb (Bernama) -- Festival makanan dan budaya Malaysia selama seminggu bermula di New Delhi pada Isnin, mempamerkan warisan kulinari dan tradisi negara sebagai sebahagian daripada kempen promosi pelancongan Malaysia.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Muzafar Shah Mustafa, bersama pemimpin industri pelancongan, wakil media serta duta dan diplomat ASEAN.

Dua cef dari Malaysia -- Faridul Ataras dari Ibis Kuala Lumpur City Centre dan Irwan Mohd Nor dari Adabi Consumer Industries -- akan menyajikan menu khas sepanjang festival yang berlangsung dari Isnin hingga 23 Feb di restoran Honk, Pullman New Delhi Aerocity.

"Festival ini bukan sekadar mengenai makanan, ia juga tentang mendalami cara hidup masyarakat Malaysia," kata Muzafar.

Sekumpulan artis dari Malaysia turut mempersembahkan tarian tradisional pada majlis perasmian.

Pengarah Tourism Malaysia Delhi Ahmad Johanif Mohd Ali berkata acara itu akan menampilkan kepelbagaian warisan kulinari Malaysia yang dipengaruhi oleh gabungan tradisi Melayu, Cina dan India.

"Kami teruja membawa pengalaman ini ke India, pasaran pelancongan utama untuk Malaysia. Melalui festival ini, kami mengajak pelancong India untuk meneroka Malaysia bukan hanya sebagai destinasi pelancongan tetapi juga sebagai syurga bagi pencinta makanan," katanya.

Malaysia menarik lebih 1.1 juta pelancong dari India pada 2024.

Ketibaan pelancong dari India meningkat dengan ketara susulan pengecualian visa selama 30 hari bagi pelancong dari negara itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan