DUNIA > BERITA

CHINA KOMITED SOKONG MALAYSIA DORONG KERJASAMA SERANTAU BUAHKAN LEBIH BANYAK HASIL

20/02/2025 04:05 PM

BEIJING, 20 Feb (Bernama-CMG) -- China menyokong Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dan komited berganding bahu dengan Malaysia untuk mendorong kerjasama serantau membuahkan lebih banyak hasil.

Jurucakap Kementerian Luar China Guo Jiakun berkata demikian ketika diminta memberi komen mengenai kenyataan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada sidang media di sini pada Rabu.

Guo berkata di bawah panduan strategik pemimpin China dan negara ASEAN, visi pembinaan komuniti berkongsi nasib China-ASEAN mendapat sambutan baik manakala pembinaan "halaman rumah yang aman, selamat, makmur, indah dan bersahabat" telah mencapai kemajuan besar.

"China dan ASEAN menjadi rakan dagang terbesar antara satu sama lain selama bertahun-tahun. Rundingan untuk menaik taraf kawasan perdagangan bebas 3.0 telah dimuktamadkan secara umumnya.

"Pada masa sama, pengaturan pengecualian visa antara China dengan negara lain termasuk Malaysia mencapai hasil memuaskan, manakala dasar 'visa Lancang-Mekong' diperkenalkan secara rasmi.

"China dan ASEAN sentiasa menjadi pemain penting dalam menjaga kedamaian Asia-Pasifik dan mendorong pembangunan di rantau berkenaan," kata Guo.

Beliau menambah bahawa China bersedia bersama Malaysia untuk menjana lebih banyak titik pertumbuhan dalam kerjasama China-ASEAN melibatkan sektor ekonomi dan perdagangan, transformasi digital, rantaian perindustrian dan rantaian bekalan, pembangunan hijau, serta pertukaran rakyat dengan rakyat.

Di samping itu, Guo menambah bahawa China bersedia bersama Malaysia untuk memperkasakan pembinaan bersama inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) berkualiti tinggi, mempromosikan tiga inisiatif global dan pembinaan komuniti ASEAN, agar mendorong kerjasama serantau mencapai lebih banyak hasil.

Selain itu, Guo juga mengulangi keinginan China untuk mendorong rundingan mengenai Kod Tatalaku di Laut China Selatan (CoC) demi keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan.

Untuk rekod, Perdana Menteri Malaysia Anwar baru-baru ini menyatakan bahawa China antara rakan ekonomi yang paling signifikan bagi ASEAN, manakala hubungan antara ASEAN dengan China akan terus memainkan peranan sebagai tunjang bagi kestabilan serantau. Malaysia akan memperkasakan kerjasama antara ASEAN dengan China sambil mempromosikan pembangunan mampan.

Anwar juga menyeru supaya rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (CoC) dimuktamadkan secepat mungkin demi menangani dan menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan