DUNIA > BERITA

MALAYSIA SELAKU PENGERUSI ASEAN UTAMAKAN USAHA DAMAI DI SELATAN THAILAND - THAKSIN

23/02/2025 06:51 PM

NARATHIWAT, 23 Feb (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Thailand dan penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN Thaksin Shinawatra, hari ini mengadakan lawatan kerja sehari ke tiga wilayah selatan Thailand dalam usaha mencari penyelesaian kepada konflik yang telah lama berlarutan di wilayah itu.

Thaksin berkata lawatan ini susulan perbincangan beliau dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Menurut Thaksin, Malaysia selaku pengerusi ASEAN dan Anwar sangat mengutamakan usaha mencapai kedamaian di wilayah selatan Thailand.

“Maka hari ini, saya turun untuk melihat sendiri keadaan di sini, meneliti isu-isu yang ada dan mendengar suara rakyat,” katanya kepada media tempatan di sini, hari ini.

Terdahulu, Thaksin yang diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Phumtham Wechayachai, serta Menteri Keadilan, Tawee Sodsong, tiba di lapangan terbang di sini dan disambut oleh Speaker Dewan Perwakilan Thailand, Wan Muhammad Noor Matha.

Katanya sebagai penasihat tidak rasmi Pengerusi ASEAN, beliau bertekad menyelesaikan konflik berkenaan dan percaya bahawa rundingan adalah jalan terbaik.

Beliau turut menyatakan harapan untuk melihat rundingan diteruskan di semua peringkat untuk mencapai kedamaian.

Lawatan ini merupakan kunjungan pertama Thaksin sejak dilantik sebagai penasihat tidak rasmi Pengerusi ASEAN, dan juga lawatan pertamanya ke wilayah itu selepas lebih 20 tahun sejak kerajaan pimpinannya dijatuhkan pada 2006.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan