DUNIA > BERITA

EU MULA GANTUNG SEKATAN EKONOMI TERHADAP SYRIA

24/02/2025 11:27 PM

BRUSSELS, 24 Feb (Bernama-dpa) -- Menteri luar Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin memutuskan untuk memulakan penggantungan sekatan terhadap Syria susulan kejatuhan pemerintah lama negara itu, Bashar al-Assad, lapor agensi berita Jerman dpa.

Beberapa langkah dalam sektor tenaga, pengangkutan dan perbankan akan ditarik balik bagi menyokong pemulihan ekonomi yang pesat, usaha pembinaan semula dan penstabilan negara itu, menurut satu kenyataan akhbar.

Langkah itu termasuk sekatan yang menjejaskan bekalan tenaga serta menghalang pergerakan individu dan barangan.

Selain itu, institusi kewangan dalam EU akan dibenarkan mengekalkan hubungan dengan bank Syria di bawah syarat tertentu bagi memudahkan transaksi berkaitan pembinaan semula.

Keputusan itu berkuat kuasa pada Selasa selepas diterbitkan dalam Jurnal Rasmi EU.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa kemungkinan untuk menggantung lebih banyak sekatan ekonomi sedang dipertimbangkan.

Menteri EU sebelum ini telah bersetuju secara prinsip pada bulan lepas untuk secara beransur-ansur melonggarkan sekatan terhadap Damsyik.

EU akan "memantau dengan teliti situasi di negara itu bagi memastikan penggantungan sedemikian kekal bersesuaian," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, sekatan EU berkaitan rejim al-Assad, sektor senjata kimia dan perdagangan dadah haram akan terus dikekalkan.

Sejak 2011, EU telah mengenakan sekatan sebagai tindak balas terhadap tindakan ganas yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

-- BERNAMA-dpa

 

TAG: Kesatuan Eropah, Syria, sekatan, penggantungan


RAG KLS


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan