MAKKAH, 1 Mac (Bernama-SPA) -- Ribuan jemaah berhimpun di Masjidil Haram pada Jumaat malam bagi menunaikan solat Isyak dan Tarawih, menandakan permulaan Ramadan 1446H, dengan pelbagai kemudahan perkhidmatan disediakan.
Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi melaksanakan pelbagai perkhidmatan termasuk pemantauan kawasan masjid, protokol pembasmian kuman dan pensterilan secara menyeluruh, perkhidmatan pengangkutan, serta pengurusan kemasukan dan keluar melalui pintu-pintu Masjidil Haram.
Selain itu, kerja pembersihan, pembasmian kuman dan penyebaran haruman berkualiti tinggi di seluruh kawasan masjid dilakukan secara berterusan.
Pihak berkuasa turut menyelia pergerakan kenderaan di dalam kawasan masjid, menyediakan laluan khas bagi orang kurang upaya, serta melaksanakan pelbagai perkhidmatan lain yang diperlukan.
Air Zamzam diedarkan menggunakan kenderaan khas, beg galas, botol air, dan termos demi memastikan jemaah dapat menikmati kemudahan itu dengan mudah.
Lebih 11,000 petugas empat syif ditugaskan untuk memastikan keselesaan dan kesejahteraan para jemaah.
Strategi pengurusan orang ramai juga dilaksanakan bagi memastikan kelancaran perkhidmatan, khususnya pada waktu puncak dan kawasan yang padat, agar semua jemaah dapat menunaikan ibadah dengan selesa.
-- BERNAMA-SPA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial