DUNIA > BERITA

INDONESIA, TIMOR-LESTE PERKUKUH KERJASAMA, BINCANG ISU SEMPADAN DAN KEAHLIAN ASEAN

03/03/2025 10:16 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 3 Mac (Bernama) -- Indonesia dan Timor-Leste menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam pertemuan antara Menteri Luar Indonesia Sugiono dan rakan sejawatnya dari Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas, di Jakarta Pusat pada Isnin.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Indonesia, perbincangan tertumpu kepada usaha meningkatkan hubungan ekonomi, menyelesaikan isu sempadan serta menyokong penyertaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN.

"Perkongsian antara Indonesia dan Timor-Leste terus berkembang dalam semangat persaudaraan. Kami mahu memastikan kerjasama ini membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara," kata Sugiono.

Beliau mengalu-alukan kemajuan dalam rundingan Perjanjian Pelaburan Dua Hala dan menggesa kelulusan lebih pantas bagi pelaburan Indonesia, termasuk syarikat milik negara yang beroperasi di Timor-Leste.

Ketika ini, Indonesia kekal sebagai rakan dagang utama Timor-Leste, dengan nilai dagangan dua hala mencecah US$391.3 juta pada 2024, meningkat 12.31 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sugiono turut menegaskan sokongan Indonesia terhadap keanggotaan Timor-Leste dalam ASEAN, termasuk melalui program pembangunan kapasiti.

Kedua-dua negara telah memperluas kerjasama dalam beberapa bidang sejak kebelakangan ini, antaranya latihan diplomatik, reformasi pengurusan kewangan, biasiswa serta pembangunan akuakultur.

Mengenai isu sempadan, kedua-dua menteri berikrar untuk menyelesaikan pertikaian secara konstruktif berdasarkan hubungan kejiranan yang baik dan saling menghormati.

"Pemeteraian perjanjian sempadan akan membuka peluang ekonomi dan meningkatkan kesalinghubungan untuk komuniti di kawasan sempadan," kata Sugiono.

Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk mengaktifkan semula Suruhanjaya Menteri Bersama sebagai forum strategik bagi menilai dan memperluas kerjasama dua hala, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan