Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 11 Mac (Bernama) -- Polis Indonesia berjaya menumpaskan rangkaian pembekalan senjata api dan peluru kepada Kumpulan Jenayah Bersenjata (KKB) yang beroperasi di beberapa wilayah.
Operasi yang dilaksanakan oleh Pasukan Petugas Damai Cartenz itu membawa kepada penahanan tujuh individu serta rampasan 17 laras senjata api berserta 3,573 butir peluru.
Menurut kenyataan polis, usaha yang diselaraskan itu melibatkan pasukan polis Papua, Papua Barat, Jawa Timur dan Yogyakarta susulan siasatan yang dijalankan antara 6 hingga 9 Mac.
"Operasi ini adalah sebahagian daripada inisiatif lebih luas oleh polis untuk membanteras penyeludupan senjata ke wilayah Papua serta memastikan kestabilan keselamatan di wilayah itu," kata Ketua Polis Papua, Inspektor Jeneral Patrige Renwarin.
Kejayaan operasi itu dicapai pada 6 Mac apabila tiga suspek ditahan bersama sejumlah besar senjata dan peluru yang dirampas di Kabupaten Keerom yang dipercayai untuk kegunaan KKB.
Patrige berkata seorang suspek utama yang ditahan didapati terlibat dalam membiayai dan menyelaras pembelian senjata bagi KKB di Puncak Jaya.
Menurut beliau, individu lain yang ditahan memainkan pelbagai peranan dalam rangkaian itu, termasuk mendapatkan senjata api, penyeludupan dan menghasilkan senjata buatan sendiri.
Antara barangan yang dirampas, termasuk enam senjata api laras panjang, enam senjata api laras pendek, lima senjata buatan sendiri, 3,573 butir peluru, serta dua peledak bahan letupan.
Pihak berkuasa turut merampas komponen senjata seperti kelopak peluru, stok, dan laras untuk senjata buatan sendiri, selain wang tunai sebanyak IDR 369,600,000 (kira-kira US$23,692).
Bukti itu ditemukan di beberapa lokasi, termasuk kediaman suspek di Bojonegoro (Jawa Timur), Sleman (Yogyakarta) dan Manokwari (Papua Barat).
Kesemua suspek kini berdepan pertuduhan di bawah Undang-Undang Darurat dan Artikel 55 Kanun Jenayah, dengan hukuman yang boleh merangkumi penjara seumur hidup hingga hukuman mati.
Konflik antara pasukan keselamatan Indonesia dan kumpulan pemisah di Papua semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan peningkatan serangan yang menyasarkan anggota keselamatan serta orang awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial