DUNIA > BERITA

UKRAINE SEDIA TERIMA GENCATAN SENJATA 30 HARI DENGAN RUSIA

12/03/2025 02:12 PM

ISTANBUL, 12 Mac (Bernama-Anadolu) -- Ukraine pada Selasa menyatakan kesediaannya untuk menerima gencatan senjata selama 30 hari dengan Rusia, ketika delegasi dari Kyiv dan Washington bertemu di Arab Saudi, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Ukraine menyatakan kesediaan untuk menerima cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk melaksanakan gencatan senjata sementara selama 30 hari secara serta-merta, yang boleh dilanjutkan dengan persetujuan bersama pihak-pihak yang terlibat, dan yang tertakluk kepada penerimaan serta pelaksanaan serentak oleh Persekutuan Rusia,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas perbincangan yang diadakan di Jeddah.

Kenyataan itu menambah bahawa kedua-dua negara telah mengambil langkah penting untuk memulihkan "keamanan yang berkekalan" untuk Ukraine, dan Washington akan menyampaikan kepada pihak Rusia keperluan untuk timbal balas Moscow dalam mencapai penyelesaian.

Menurut kenyataan itu, AS akan segera mengangkat sekatan terhadap perkongsian maklumat perisikan dengan Ukraine, serta menyambung semula bantuan keselamatan kepada Kyiv.

Ia turut menyatakan bahawa semasa perbincangan, delegasi Ukraine menegaskan bahawa rakan-rakan Kyiv di Eropah harus terlibat dalam proses perdamaian.

"Kedua-dua delegasi bersetuju untuk menamakan pasukan perunding mereka dan segera memulakan rundingan ke arah perdamaian yang berpanjangan yang menyediakan keselamatan jangka panjang untuk Ukraine," menurut kenyataan itu, menekankan kepentingan usaha bantuan kemanusiaan sebagai sebahagian daripada proses perdamaian, terutamanya semasa gencatan senjata yang dicadangkan.

“Terakhir, kedua-dua presiden negara itu bersetuju untuk merangka secepat mungkin perjanjian komprehensif untuk membangunkan sumber mineral kritikal Ukraine bagi memperluaskan ekonomi Ukraine dan menjamin kemakmuran serta keselamatan jangka panjang negara berkenaan,” tambah kenyataan itu.

Pertemuan antara delegasi AS dan Ukraine berlangsung sehari selepas Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy tiba di negara Teluk itu, yang beliau mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan