DUNIA > BERITA

RAJA CHARLES TANAM POKOK PERINGATI KOMITMEN KOMANWEL TERHADAP THE QUEEN’S COMMONWEALTH CANOPY

12/03/2025 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Raja Charles III dari Britain menanam pokok Acer rubrum, "October Glory'’, di kawasan Istana Buckingham pada Selasa bagi memperingati pencapaian inisiatif alam sekitar, The Queen’s Commonwealth Canopy.

Dalam satu kenyataan bersama, Persatuan Komanwel Diraja (RCS), Commonwealth Forestry Association dan Cool Earth berkata majlis penanaman pokok itu juga sebagai pengiktirafan terhadap komitmen berpanjangan Tuanku terhadap pemuliharaan alam sekitar dan ikatan yang kukuh antara negara-negara Komanwel.

“Dilancarkan pada Mesyuarat Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2015 di Malta, The Queen’s Commonwealth Canopy adalah inisiatif alam sekitar pertama yang dinamakan sempena Ratu Elizabeth II. Projek itu berakhir pada 2022 selepas berjaya mendapatkan penglibatan seluruh negara Komanwel,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan berkenaan, projek itu yang dijayakan oleh rakan kongsi sebagai rangkaian projek pemuliharaan hutan di seluruh Komanwel, meraikan perkhidmatan luar biasa Ratu Elizabeth II kepada Komanwel, sambil memelihara hutan asli penting untuk generasi masa depan.

RCS berperanan sebagai rakan kongsi pengurusan yang bekerjasama dengan Commonwealth Forestry Association dan Cool Earth.

Pencapaian luar biasa projek ini menyaksikan sebanyak 115 tapak dan projek di seluruh Komanwel berjaya memulihara lebih 12 juta hektar hutan asli dan taman botani, memastikan legasi yang kekal sebagai penghormatan kepada Ratu Elizabeth II dan melindungi ekosistem penting ini untuk generasi akan datang, tambah kenyataan itu.

Pengerusi Eksekutif RCS Dr Linda Yueh CBE berkata The Queen’s Commonwealth Canopy adalah contoh luar biasa usaha bersatu Komanwel untuk mencipta masa depan yang mampan bagi 2.7 bilion warganya.

“Ia menyatukan kerajaan dan organisasi untuk memulihara hutan pelbagai jenis, termasuk tapak Warisan Dunia UNESCO dan yang pernah dilawati oleh Ratu Elizabeth II semasa 70 tahun perkhidmatannya. Kami sangat berbesar hati bahawa Tuanku Raja, Penaung RCS, telah memperingati pencapaian ini dengan menanam pokok Acer rubrum, ‘October Glory,’ di kawasan Istana Buckingham, mewujudkan simbol kekal komitmen Komanwel terhadap pemuliharaan alam sekitar dan legasi Ratu yang telah mangkat,” katanya.

Pengarah Eksekutif Commonwealth Forestry Association, Alan Pottinger berkata ia adalah satu penghormatan bagi Commonwealth Forestry Association untuk memainkan peranan dalam The Queen’s Commonwealth Canopy dan dengan itu membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Komanwel tentang nilai pokok dan hutan - untuk individu, komuniti kita, dan masa depan planet kita.

“Merupakan satu penghormatan kepada Ratu Elizabeth II bahawa anakandanya dan penyokong setia alam sekitar, Raja Charles III, turut membantu memperingati kejayaan projek ini,” tambahnya.

Pengerusi Cool Earth, Tony Jupiter CBE berkata apabila Frank Field mencadangkan The Queen’s Commonwealth Canopy, ia adalah untuk mengiktiraf skala hutan 54 negara pada waktu itu dan usaha komuniti tempatan untuk mengekalkan kewujudannya.

"Ratu Elizabeth II pastinya akan gembira melihat visi baginda tercapai sebagai bukti komitmen Komanwel terhadap dunia semula jadi dan perjuangannya melawan krisis iklim."

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan