DUNIA > BERITA

UNTUNG BMW MEROSOT KETARA, SUSUT 37 PERATUS PADA 2024

14/03/2025 06:28 PM

MUNICH, 14 Mac (Bernama-dpa) – Pengeluar kereta mewah Jerman, BMW, mencatatkan kejatuhan untung yang ketara tahun lepas susulan kelemahan jualan di China serta masalah teknikal pada sistem brek.

Syarikat itu pada Jumaat melaporkan keuntungan selepas cukai sebanyak €7.7 bilion (US$8.6 bilion), menyusut 37 peratus berbanding tahun sebelumnya, lapor agensi berita Jerman, dpa.

Pendapatan turut mengalami kemerosotan ketara, susut 8.4 peratus kepada €142 bilion.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut BMW, yang berpangkalan di Munich mencatatkan kejatuhan keuntungan yang mendadak.

Selain kelemahan jualan di China, BMW turut berdepan isu teknikal pada sistem brek yang dibekalkan oleh syarikat Jerman, Continental.

Bagaimanapun, BMW menjangkakan permintaan akan meningkat tahun ini. Walaupun situasi kekal mencabar dan peningkatan tarif Amerika Syarikat (AS) memberi tekanan tambahan, syarikat itu mengunjurkan keputusan sebelum cukai akan berada pada paras yang hampir dengan tahun 2024.

Kesukaran yang dialami BMW turut mencerminkan cabaran yang dihadapi pengeluar kereta utama Jerman lain. Volkswagen dan Mercedes-Benz turut melaporkan penurunan keuntungan pada 2024, dengan keuntungan Volkswagen susut 31 peratus kepada €12.4 bilion, manakala Mercedes-Benz jatuh 28 peratus kepada €10.4 bilion.

Seperti BMW, kedua-dua syarikat itu turut berdepan keadaan pasaran yang mencabar di China.

--BERNAMA-dpa

 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan