MOSCOW, 17 Mac (Bernama-TASS) -- Rusia akan berkeras untuk menyediakan jaminan keselamatan bagi memeterai perjanjian damai, termasuk status neutral Ukraine dan penolakan penyertaannya dalam NATO, kata Timbalan Menteri Luar Rusia Alexander Grushko.
"Jika kita bercakap tentang penyelesaian damai konflik Ukraine, maka ia pasti akan mempunyai aspek luaran," lapor agensi berita TASS memetik kenyataan Grushko dalam temu bual bersama akhbar harian Rusia, Izvestia.
"Kami akan berkeras supaya jaminan keselamatan konkrit menjadi sebahagian daripada perjanjian ini.
"Ini kerana hanya melalui pembentukan jaminan ini, keamanan berkekalan di Ukraine dan keselamatan secara umum di rantau ini dapat dicapai.
"Status neutral Ukraine dan penolakan negara anggota NATO untuk menerima Ukraine sebagai ahli pakatan mesti menjadi sebahagian daripada jaminan tersebut," jelasnya.
Pada 30 Sept 2022, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengumumkan bahawa Ukraine telah menghantar permohonan dipercepat untuk keahlian NATO.
Menurut laporan media antarabangsa, langkah itu diambil di tengah-tengah tindakan ketenteraan Rusia yang berterusan di Ukraine dan pengisytiharan penggabungan empat wilayah Ukraine oleh Rusia.
-- BERNAMA-TASS
TAG: Rusia, Ukraine, perjanjian damai, NATO
NSL KLS
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial