DUNIA > BERITA

UNRWA: BEKALAN TEPUNG UNTUK EDARAN DI GAZA HANYA BERTAHAN SEKITAR ENAM HARI

21/03/2025 10:36 PM

GENEVA, 21 Mac (Bernama-Anadolu) -- Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), antara penyedia makanan terbesar, pada Jumaat memaklumkan bahawa bekalan tepung untuk diedarkan di Gaza hanya mampu bertahan sekitar "enam hari" kerana tiada bantuan baharu masuk sejak 19 hari lepas, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Kami boleh memanjangkannya dengan mengurangkan jumlah yang diberikan kepada orang ramai," kata Sam Rose dari UNRWA dalam taklimat di Geneva. "Tetapi kini kita bercakap mengenai hari, bukan minggu."

Rose menegaskan bahawa ini adalah "tempoh paling lama" tanpa sebarang bekalan memasuki Gaza sejak Oktober 2023.

Beliau menyifatkan keadaan di Gaza sebagai "sangat membimbangkan" ketika wilayah terkepung itu mengalami malam keempat pengeboman sejak gencatan senjata dicabuli pada Isnin malam, yang telah mengorbankan lebih 700 rakyat Palestin, termasuk 200 wanita dan kanak-kanak.

UNRWA juga menganggarkan sekitar 70,000 orang sedang berpindah, sementara ramai lagi terkesan oleh arahan pemindahan terbaru Israel.

Sejak Oktober 2023, hampir 50,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 112,000 lagi cedera dalam serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza.

Pada November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung peperangannya ke atas wilayah itu.

-- BERNAMA-Anadolu


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan