DUNIA > BERITA

80,000 RAKYAT PALESTIN TUNAI SOLAT RAMADAN DI AL-AQSA WALAUPUN BERDEPAN SEKATAN ISRAEL

22/03/2025 12:16 AM

BAITULMAQDIS, 21 Mac (Bernama-Anadolu) -- Meskipun berdepan sekatan ketat Israel, kira-kira 80,000 rakyat Palestin menunaikan solat Jumaat sempena Ramadan di Masjid Al-Aqsa yang terletak di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

"Seramai 80,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa hari ini," kata Sheikh Azzam al-Khatib, ketua pengarah Waqaf Islam di Baitulmaqdis kepada Anadolu Ajansi.

Jemaah mula tiba seawal Khamis, sanggup meredah hujan lebat dan sekatan ketat yang dikenakan oleh Israel. Ratusan daripada mereka bermalam di dalam masjid untuk beriktikaf, bersempena dengan bermulanya 10 malam terakhir Ramadan.

Pada Jumaat ketiga berturut-turut sejak bermulanya Ramadan, polis Israel dikerahkan dalam jumlah besar di pintu masuk Kota Lama Baitulmaqdis, lokasi Masjid Al-Aqsa, serta di lorong-lorong dan halaman sekitarnya.

Pihak berkuasa Israel sebelum ini mengumumkan penugasan 3,000 anggota polis di bandar raya itu pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan.

Selepas solat, jemaah memenuhi halaman dan ruang solat Masjid Al-Aqsa untuk sesi bacaan al-Quran dan halaqah ilmu. Ribuan jemaah biasanya kekal di dalam masjid hingga waktu berbuka puasa dan solat tarawih pada sebelah malam.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Israel melarang lelaki Palestin bawah umur 55 tahun dan wanita bawah umur 50 tahun dari Tebing Barat yang diduduki daripada memasuki Baitulmaqdis, menghalang puluhan ribu daripada menunaikan solat di masjid itu.

Israel mengenakan sekatan ketat terhadap akses rakyat Palestin ke Masjid Al-Aqsa sejak pencerobohan ke atas Gaza pada Oktober 2023.

Menurut Anadolu, Waqaf Islam di Baitulmaqdis membenarkan jemaah beriktikaf di dalam masjid sepanjang 10 malam terakhir Ramadan dan lazimnya pihak berkuasa Israel menghentikan pencerobohan pendatang haram ke dalam masjid sepanjang tempoh ini - satu amalan tahunan sejak pencerobohan itu bermula pada 2003.

Ketegangan terus memuncak di seluruh Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, dengan sekurang-kurangnya 937 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 7,000 cedera akibat serangan tentera Israel dan pendatang haram sejak serangan ke atas Gaza bermula pada 7 Okt 2023, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa pendudukan berpanjangan Israel ke atas wilayah Palestin adalah tidak sah dan menyeru pemindahan semua penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan