DUNIA > BERITA

MESIR NAFI DAKWAAN PINDAHKAN SEMENTARA 500,000 PENDUDUK GAZA KE SINAI

22/03/2025 12:25 AM

KAHERAH, 21 Mac (Bernama-QNA) -- Mesir menafikan dakwaan yang disebarkan oleh beberapa media yang negara itu bersedia untuk memindahkan sementara 500,000 penduduk Gaza ke sebuah bandar raya yang ditetapkan di utara Sinai sebagai sebahagian daripada usaha pembinaan semula Gaza, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Perkhidmatan Maklumat Negara Mesir (SIS) dalam satu kenyataan pada Jumaat menegaskan yang dakwaan itu tidak berasas dan bercanggah sepenuhnya dengan pendirian tegas serta prinsip Mesir yang dinyatakan sejak awal pendudukan ke atas Gaza pada Oktober 2023.

“Mesir secara tegas dan muktamad menolak sebarang percubaan untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa atau sukarela ke mana-mana lokasi di luar Gaza, terutamanya ke wilayah Mesir, kerana ia akan membawa kepada penghapusan perjuangan Palestin dan mengancam keselamatan negara Mesir,” menurut SIS.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa pendirian jelas dan berterusan Mesir menjadi asas kepada rancangan yang dibentangkan pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab di Kaherah baru-baru ini bagi pembinaan semula Gaza.

Menurut kenyataan itu, rancangan yang dicadangkan Mesir untuk menyokong pembinaan semula Gaza tanpa memindahkan walau seorang rakyat Palestin dari wilayah mereka diterima sebulat suara oleh sidang kemuncak itu.

-- BERNAMA-QNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan