SEOUL/CHANGWON (Korea Selatan), 22 Mac (Bernama-Yonhap) -- Kerajaan Korea Selatan mengisytiharkan status bencana negara pada Sabtu susulan kebakaran besar kawasan hutan yang melanda bandar Ulsan dan kawasan tenggara negara itu, lapor Agensi Berita Yonhap.
Langkah itu berkuat kuasa di bandar raya Ulsan, Wilayah Gyeongsang Utara dan Wilayah Gyeongsang Selatan mulai 6 petang, menurut Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan.
Pengumuman itu dibuat selepas Pemangku Presiden Choi Sang-mok mengesyorkan pengisytiharan status bencana itu bagi membolehkan pelaksanaan langkah menyeluruh untuk menangani bencana dan usaha pemulihan.
Choi turut mengarahkan pegawai kerajaan meneliti kemungkinan untuk menetapkan kawasan terjejas sebagai zon bencana khas.
Sejurus sebelum pengisytiharan itu, Ibu Pejabat Pusat Pencegahan Bencana dan Keselamatan yang diketuai Pemangku Menteri Dalam Negeri Ko Ki-dong mula beroperasi, menurut kementerian.
Keputusan itu dibuat berikutan kebakaran hutan yang dilaporkan di bandar raya Ulsan dan beberapa daerah tenggara, termasuk Daerah Sancheong.
Lapan kampung di Sancheong dikenakan arahan pemindahan susulan keadaan angin kencang yang menyukarkan operasi memadam kebakaran sejak ia mula tercetus pada petang Jumaat.
Lebih 260 penduduk kehilangan tempat tinggal dan berlindung di pusat pemindahan sementara.
Sehingga 5 petang, hanya 35 peratus kebakaran berjaya dipadamkan, berbanding 70 peratus pada 10.30 pagi, akibat tiupan angin kencang.
Pejabat daerah mengesahkan, dua anggota bomba ditemukan maut, manakala dua lagi masih hilang dan enam mengalami kecederaan.
Sementara itu, kebakaran hutan di Uiseong, Wilayah Gyeongsang Utara, yang berlaku lebih awal pada hari sama memusnahkan 300 hektar hutan.
Sehingga 5 petang, anggota bomba hanya berjaya memadamkan empat peratus kebakaran, dengan kira-kira 500 penduduk terpaksa dipindahkan.
Operasi kereta api melalui kawasan terjejas turut dihentikan buat sementara waktu.
Satu lagi kebakaran di Daerah Ulju, barat Ulsan, menyebabkan kira-kira 80 penduduk terpaksa berpindah.
Sementara itu, Perkhidmatan Perhutanan Korea meningkatkan tahap kecemasan kebakaran hutan ke tahap tertinggi pada 3.30 petang, dengan 16 kebakaran dilaporkan di seluruh negara akibat angin kencang.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial