DUNIA > BERITA

DFI RETAIL GROUP JUAL PERNIAGAAN MAKANAN SINGAPURA KEPADA MACROVALUE DARI MALAYSIA

24/03/2025 08:47 PM

SINGAPURA, 24 Mac (Bernama) -- Kumpulan runcit Malaysia, Macrovalue akan mengambil alih perniagaan makanan DFI Retail Group (DFI) di Singapura termasuk Cold Storage, Giant, CS Fresh dan Jason’s Deli dengan harga pembelian awal sebanyak S$125 juta (S$1 = RM3.30).

DFI dalam satu kenyataan hari ini berkata, syarikatnya memeterai perjanjian bersama kumpulan runcit Asia Tenggara berkenaan dan transaksi dijangka diselesaikan pada separuh kedua tahun ini, namun, ia tertakluk kepada pelarasan dan syarat penutupan biasa.

Dalam pada itu, media Singapura iaitu The Straits Times (ST) melaporkan perjanjian tersebut meliputi semua 48 cawangan Cold Storage di Singapura termasuk yang di bawah jenama CS Fresh, CS Gold dan Jason’s Deli serta 41 kedai Giant selain dua pusat pengedaran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DFI, Scott Price berkata kumpulan tersebut percaya Macrovalue berada dalam kedudukan yang ideal untuk memacu fasa pertumbuhan seterusnya bagi perniagaan makanan Singapura dengan skala yang lebih besar serta kuasa perolehan yang meluas di Malaysia dan Singapura.

"Peralihan ini dijangka memberi manfaat kepada pelanggan di Singapura dengan pelbagai produk yang dipertingkatkan, harga yang lebih kompetitif dan perkhidmatan yang lebih baik di bawah pemilik yang mempunyai kemampuan serta komitmen untuk melabur dalam kejayaan jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Macrovalue sebelum ini mengambil alih dan menggabungkan perniagaan makanan DFI di Malaysia pada 2023 termasuk jenama Giant dan Cold Storage.

Price berkata DFI kekal komited sepenuhnya terhadap Singapura sebagai pasaran utama dalam portfolio mereka dan akan mengalihkan tumpuan serta sumber daya di negara itu ke arah perniagaan Guardian dan 7-Eleven bagi memacu pertumbuhan selanjutnya, meningkatkan pengalaman pelanggan dan meningkatkan pulangan.

"Perusahaan ini mempunyai potensi besar untuk pertumbuhan dan pasukan kami yang berdedikasi di Singapura sedang bekerja keras bagi memastikan terus memenuhi dan melebihi jangkaan pelanggan kami pada tahun-tahun akan datang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan