WASHINGTON, 25 Mac (Bernama-Xinhua) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin berkata beliau mungkin akan "memberikan banyak negara kelonggaran" mengenai tarif menjelang tarikh akhir 2 April untuk mengenakan "tarif timbal balik" ke atas rakan dagangan AS.
"Saya mungkin memberikan banyak negara kelonggaran, tetapi ia bersifat timbal balik," kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih pada petang Isnin, menurut laporan Xinhua.
Beliau menyatakan bahawa Kesatuan Eropah (EU) telah bersetuju menurunkan tarif kereta kepada 2.5 peratus sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan pentadbiran Trump.
"Kami akan mengumumkan beberapa tarif tambahan dalam beberapa hari akan datang, berkaitan dengan automotif, kereta, dan sedikit sebanyak berkaitan dengan kayu balak serta cip," sambung Trump.
"Tetapi secara umumnya, 2 April akan menjadi hari besar, iaitu hari timbal balik, dan kami akan membawa pulang sebahagian wang yang telah diambil daripada kami," kata Trump.
Awal hari itu, Trump mengumumkan di media sosial bahawa beliau akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas mana-mana negara yang membeli minyak dan/atau gas dari Venezuela, sambil menuduh negara Amerika Latin itu menghantar "puluhan ribu" penjenayah ke AS.
Apabila ditanya oleh pemberita sama ada tarif 25 peratus itu "ditambah ke atas tarif sedia ada," Trump menjawab "ya."
Dengan petunjuk ekonomi utama AS menunjukkan trend membimbangkan, ahli ekonomi dan pelabur memberi amaran risiko "Trumpcession" (kemelesetan ekonomi akibat dasar Trump) semakin meningkat ekoran dasar perdagangan dan ekonomi yang tidak dapat diramal.
Awal bulan ini, Bruce Kasman, Ketua Ahli Ekonomi Global JPMorgan, meluahkan kebimbangan mendalam terhadap ekonomi AS. Beliau memberitahu pemberita di Singapura bahawa bank pelaburan itu kini menganggarkan 40 peratus kemungkinan kemelesetan ekonomi AS tahun ini.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial