DUNIA > BERITA

PRESIDEN PERU UMUM PRU PADA APRIL 2026

26/03/2025 01:49 PM

BOGOTA (Colombia), 26 Mac (Bernama-Anadolu) -- Presiden Peru Dina Boluarte pada Selasa mengumumkan bahawa pilihan raya umum negara itu akan diadakan pada 12 April 2026, lapor Anadolu Ajansi (AA). 

Beliau berkata bahawa pilihan raya itu akan menamatkan ketidakstabilan yang menyumbang kepada peningkatan isu keselamatan dan polarisasi sosial di Peru sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

"Kami akan memastikan proses pilihan raya yang terjamin dan selaras dengan prinsip demokrasi," kata Boluarte. 

“Kerajaan yang saya pimpin komited untuk mengekalkan sikap berkecuali dan tidak berat sebelah, menjamin keputusan yang tidak boleh dipertikaikan dalam proses pilihan raya ini,” katanya sambil memberi jaminan bahawa pilihan raya akan bersifat demokratik, bersih, telus dan teratur.

Pada pilihan raya itu, rakyat Peru akan memilih presiden baharu serta timbalan, senator, dan wakil ke Parlimen Andes. 

Dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini, Peru menyaksikan enam presiden berbeza, mencerminkan ketidakstabilan politik yang mendalam. 

Perlembagaan negara membenarkan Kongres menyingkirkan presiden jika dua pertiga anggotanya bersetuju bahawa pemimpin negara mengalami "ketidakupayaan moral." 

Bekas Presiden Pedro Castillo sebelum ini berdepan pelbagai siasatan berkaitan dakwaan rasuah.

Pada 7 Dis 2022, ketika Kongres bersedia untuk percubaan pemecatannya kali ketiga, Castillo cuba mendahului tindakan itu dengan mengumumkan pembubaran Parlimen dan pembentukan "kerajaan darurat yang tergempar" yang akan memerintah melalui dekri sehingga Kongres baharu dipilih untuk merangka Perlembagaan baharu.

Bagaimanapun, Kongres pantas bertindak dengan mengadakan sidang tergempar pada hari yang sama dan mengundi untuk memecatnya. 

Castillo digantikan oleh Naib Presiden Dina Boluarte, menjadikannya wanita pertama yang memegang jawatan presiden Peru. 

Bekas Presiden itu kemudiannya ditangkap atas tuduhan "pemberontakan dan konspirasi" ketika cuba melarikan diri ke Kedutaan Mexico. 

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan