NEW YORK, 28 Mac (Bernama-WAFA) -- Tabung Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya 14 juta kanak-kanak di seluruh dunia sedang menderita akibat malnutrisi dan berdepan gangguan terhadap bantuan makanan penting, berikutan pengurangan bajet bantuan oleh penderma utama antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
Sebagai tindak balas kepada krisis ini, UNICEF menggesa kerajaan dan organisasi kebajikan untuk menyumbang kepada Dana Pemakanan Kanak-Kanak bagi mencegah potensi kebuluran daripada bertambah buruk.
Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell berkata kemajuan yang signifikan telah dicapai dalam usaha memerangi kelaparan kanak-kanak sejak permulaan abad ini, tetapi memberi amaran bahawa pencapaian itu berisiko untuk berakhir.
"Pemakanan yang baik adalah asas kepada daya tahan dan perkembangan kanak-kanak, dengan pulangan pelaburan yang luar biasa," kata Russell dalam satu kenyataan.
"Pulangan ini akan diukur dalam bentuk keluarga, komuniti, dan negara yang lebih kuat, menyumbang kepada dunia yang lebih stabil," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kekurangan dana semasa berlaku pada masa keperluan yang belum pernah terjadi sebelumnya bagi kanak-kanak, yang masih bergelut dengan tahap perpindahan yang tinggi, konflik yang berterusan dan berpanjangan, wabak penyakit, serta kesan maut perubahan iklim.
-- BERNAMA-WAFA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial