BERLIN, 28 Mac (Bernama-dpa/Xinhua) -- Myanmar perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan gempa susulan selepas gempa bumi kuat melanda negara itu pada Jumaat, menurut seorang ahli geofizik Jerman kepada agensi berita Jerman (dpa).
“Kami menjangkakan gempa susulan akan berlaku. Ini adalah proses yang biasa,” kata Oliver Heidbach dari Pusat Geosains GFZ Helmholtz di Potsdam, timur Jerman.
Saintis GFZ berkata beberapa gempa susulan dengan magnitud antara 6 dan 6.5 boleh berlaku dalam tempoh beberapa jam atau hari akan datang, dengan jumlah dan kekuatan gegaran dijangka berkurangan dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun, mereka tidak menolak kemungkinan berlakunya satu lagi gempa bumi kuat.
Heidbach memberi amaran bahawa gelombang seismik yang dihasilkan oleh gempa susulan berpotensi merosakkan lagi bangunan yang sudah terjejas, sekali gus menyukarkan dan membahayakan usaha menyelamat.
Heidbach menjelaskan bahawa pusat gempa pertama terletak pada garis sesar yang menyerap pergerakan plat tektonik India, yang merentasi khatulistiwa
Beliau berkata kawasan itu dilanda gempa bumi kuat kira-kira setiap 100 tahun.
Namun, masih terlalu awal untuk menilai sepenuhnya kesan gempa bumi itu, katanya.
Sementara itu, Konsulat Jeneral China di Chiang Mai, Thailand pada Jumaat menasihatkan warga China di negara itu agar berwaspada terhadap kemungkinan gempa susulan selepas gempa bumi kuat melanda Myanmar, lapor Xinhua.
Konsulat Jeneral China dalam satu kenyataan memaklumkan gempa bumi kuat telah melanda Myanmar awal hari ini, dengan gegaran ketara dirasai di utara Thailand, termasuk wilayah Chiang Mai dan Mae Hong Son.
Beberapa tarikan pelancongan di Daerah Pai, Mae Hong Son dilaporkan runtuh akibat gempa itu, katanya.
Sehubungan itu, Konsulat Jeneral China menggesa warga China di Thailand agar sentiasa mengikuti maklumat amaran awal rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Thailand serta mengelakkan berada di tingkat bangunan lebih tinggi.
-- BERNAMA-agensi
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial