DUNIA > BERITA

ASEAN SEDIA BANTU MYANMAR, THAILAND DALAM USAHA TINDAK BALAS BENCANA - MENTERI LUAR MALAYSIA

29/03/2025 11:59 AM

PUTRAJAYA, 29 Mac (Bernama) -- ASEAN bersedia membantu Myanmar dan Thailand dalam usaha tindak balas bencana susulan gempa bumi pada Jumaat, selaras dengan keutamaan yang ditetapkan oleh kedua-dua negara, kata Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan.  

Beliau berkata bantuan itu akan disalurkan mengikut keutamaan yang ditetapkan bagi memastikan bantuan yang diberikan berkesan dan tersasar, menurut Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Sabtu.  

Sejajar dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mac, Mohamad menegaskan semula solidariti Malaysia bersama negara-negara jiran ASEAN dan menekankan bahawa ASEAN bersedia menyokong Myanmar dan Thailand dalam usaha tindak balas bencana mereka.  

“Negara-negara Anggota ASEAN akan berkoordinasi secara rapat melalui Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre) bagi memastikan bantuan kemanusiaan disampaikan dengan segera, tepat dan berkesan,” katanya.  

Menurut Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, sekurang-kurangnya 144 orang maut dan 732 cedera dalam gempa bumi yang melanda tengah Myanmar pada Jumaat.  

Kematian termasuk 96 di Nay Pyi Taw, 18 di Sagaing dan 30 di Kyaukse, manakala usaha menyelamat masih diteruskan susulan kerosakan besar pada bangunan, menurut laporan media antarabangsa. 

Malaysia mempengerusikan ASEAN untuk 2025.  

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan