DUNIA > BERITA

DARIPADA RUTIN KEPADA KEKACAUAN: PENGALAMAN MENCEMASKAN PEWARTA BERNAMA SEMASA GEMPA BUMI DI BANGKOK

29/03/2025 05:04 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 29 Mac (Bernama) -- Apa yang bermula sebagai hari Jumaat yang biasa di Bangkok dengan pantas bertukar menjadi detik mencemaskan bagi Pewarta Bernama, Kenny Teng.

Bandar raya itu selalunya sibuk dengan aktiviti harian penduduk dengan jalan raya dipenuhi orang ramai, deruman bunyi enjin tuk-tuk dan aroma kopi pagi menyelubungi kafe.

Dari pejabatnya di tingkat 23 Tai Ping Towers di Jalan Sukhumvit, Kenny, yang berasal dari Pulau Pinang, sedang menyiapkan sebuah artikel ketika beliau mula merasakan gegaran kecil di bawahnya.  

Pada mulanya, beliau tidak mengendahkannya, menyangka ia hanya rasa pening kerana melewatkan makan tengah hari. Namun dalam sekelip mata, gegaran itu semakin kuat.  

Teruskan membaca ketika Kenny, 38, berkongsi pengalaman ngerinya sewaktu gempa bumi yang menggegarkan Bangkok – peristiwa yang mengubah hari biasa menjadi yang tidak dapat dilupakan, penuh dengan ketakutan dan daya tahan.

-

Selepas sarapan pagi di sebuah kafe berhampiran, saya kembali ke pejabat di tingkat 23 Tai Ping Towers di Jalan Sukhumvit untuk menyiapkan artikel ketika persekitaran saya seolah-olah beralih.

Penglihatan saya sedikit terpesong dan pada mulanya, saya menyangka ia hanyalah rasa pening kerana belum makan tengah hari, ketika jam menunjukkan 1.30 tengah hari. Saya melangkah keluar dari pejabat untuk berdiri di tepi tingkap, dengan harapan dapat menenangkan diri.

Beberapa saat kemudian, ketika saya kembali ke meja, gegaran semakin kuat. Saya perhatikan gambar bingkai di dinding bergoyang seperti bandul, manakala kerusi di dalam bilik mula bergerak sendiri. Saya terpaku, tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Terperangkap dalam bangunan tinggi, saya diselubungi ketakutan. 

Ketika itulah, bunyi tapak kaki yang tergesa-gesa dan jeritan memecahkan kebingungan saya. Saya membuka pintu utama dan melihat orang ramai bergegas menuju ke tangga kecemasan, cuba menyelamatkan diri. Naluri saya akhirnya bertindak balas. Saya mencapai telefon bimbit dan berlari keluar dari pejabat.

Di pertengahan jalan menuju tangga kecemasan, saya teragak-agak lalu berpatah balik ke unit saya untuk mengunci pintu, tetapi tiba-tiba seorang wanita muda menjerit, 'Jangan patah balik! Bangunan ini bergoncang terlalu kuat!' Kata-katanya menyedarkan saya, dan saya segera mengikuti orang ramai menuruni tangga.

Ketika menuruni bangunan, pelbagai perkara berlegar di fikiran saya. Namun, yang paling utama adalah memastikan keluarga saya tahu apa yang sedang berlaku.

Setibanya di tingkat bawah, saya disambut pemandangan huru-hara. Retakan kelihatan pada dinding, dan serpihan dari atas bangunan bertaburan berhampiran pejabat pentadbiran yang bersebelahan dengan bangunan saya.

Di luar, keadaan tidak kurang huru-hara. Orang ramai panik dan membuat panggilan telefon, saling bertanya apa yang telah berlaku. Serpihan binaan berselerak di kaki lima, sementara seorang wanita memakai baju tidur duduk memeluk bantal, wajahnya pucat akibat terkejut. Tidak jauh dari situ, pegawai keselamatan bertungkus-lumus menenangkan penduduk yang cemas.

Bangkok -- dan Thailand secara keseluruhannya -- biasanya tidak dikaitkan dengan gempa bumi. Dalam setahun saya menetap di sini, saya tidak pernah mengalaminya. Gegaran itu seolah-olah tidak berkesudahan, walaupun pada hakikatnya, ia mungkin hanya berlangsung beberapa minit.

Kemudian, saya mendapat tahu bahawa gempa bumi itu berpusat di kawasan tengah Myanmar dengan magnitud 7.7. Kesan gegarannya dirasai di seluruh Asia Tenggara dan Bangkok tidak berkecuali. Sebuah bangunan tinggi yang masih dalam pembinaan runtuh tidak jauh dari tempat saya berada, membuatkan saya menggigil memikirkan kemungkinan buruk yang boleh berlaku.

Walaupun beberapa jam telah berlalu, saya masih terkesan dengan gegaran susulan. Walaupun saya ingin mengambil dokumen penting dan pakaian dari unit saya, saya memutuskan untuk mencari perlindungan di sebuah bangunan rendah. Akhirnya, saya menemukan tempat berlindung di sebuah kuil Buddha berhampiran, Wat That Thong.

Di kuil itu, saya menyaksikan satu pemandangan perpaduan dan ketahanan yang luar biasa. Sukarelawan mengedarkan botol air, dan orang ramai berkongsi pengecas telefon untuk membantu satu sama lain menghubungi orang tersayang. Di sebalik ketakutan dan ketidakpastian, wujud semangat persaudaraan yang tidak terungkap di antara orang tidak dikenali -- satu ikatan yang terjalin melalui pengalaman yang dikongsi bersama."

Pada hari itu, saya menyedari betapa rapuh dan tidak terduganya kehidupan. Bangkok, sebuah bandar raya yang selama ini saya kaitkan dengan kesibukan dan keceriaan, kini kelihatan terdedah kepada bahaya tetapi tetap teguh. Ia adalah satu detik yang terukir dalam ingatan saya - satu peringatan jelas untuk menghargai ketenangan di antara badai kehidupan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan