DUNIA > BERITA

PERDANA MENTERI KEMBOJA LUAH KESEDIHAN TRAGEDI GEMPA BUMI DI MYANMAR, THAILAND

29/03/2025 05:30 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 29 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menyampaikan ucapan takziah kepada Kerajaan Thailand dan Myanmar susulan gempa bumi yang melanda kedua-dua negara itu pada Jumaat .

Dalam hantaran di Facebook, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap mereka yang terkesan akibat bencana alam itu serta menasihatkan rakyat Kemboja yang bekerja di kedua-dua negara agar mengambil langkah keselamatan.

“Pertama sekali, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada Kerajaan Thailand dan Kerajaan  Myanmar serta rakyat yang terjejas akibat gempa bumi di Thailand dan Myanmar pada petang Jumaat,” kata Hun Manet.

Gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter melanda kedua-dua negara Asia Tenggara itu pada petang Jumaat, menyebabkan kemusnahan kepada bangunan, infrastruktur serta kawasan perumahan.

“Keutamaan kerajaan Kemboja adalah kebajikan rakyat Khmer yang tinggal dan bekerja di Myanmar serta Thailand, khususnya di kawasan yang terjejas akibat gempa bumi.

Kedutaan Kemboja di Myanmar dan Thailand bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memberikan bantuan kepada pekerja yang menghadapi kesulitan,” katanya.

Di Myanmar, Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing mengisytiharkan darurat selepas bencana itu.

“Saya telah mengisytiharkan darurat di semua kawasan terjejas dan telah membuka semua saluran yang ada untuk menerima bantuan antarabangsa. Saya ingin menjemput mana-mana negara atau organisasi untuk datang membantu sami, rahib serta rakyat Myanmar yang memerlukan,” katanya dalam perutusan kepada rakyat pada Jumaat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan