Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 1 April (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra mengarahkan menteri berkaitan menjalankan siasatan berhubung bangunan Pejabat Audit Negara (SAO) yang runtuh susulan gempa bumi kuat pada magnitud 7.7 di Myanmar yang menyebabkan gegaran di ibu negara Thailand pada Jumaat lepas.
Paetongtarn menegaskan bahawa kegagalan sebuah bangunan sahaja boleh menjejaskan imej negara dan Thailand perlu mampu menjelaskan kepada dunia mengenai apa yang berlaku.
"Saya sudah katakan sebelum ini – isu ini mesti ditangani dengan serius melalui semua proses yang sepatutnya. Walaupun hanya melibatkan satu bangunan, ia tetap memberi kesan kepada reputasi Thailand.
"Kita perlu mencari jawapan dan memberikan penjelasan kepada rakyat serta masyarakat antarabangsa mengenai kejadian ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan pada Selasa.
Paetongtarn berkata sebelum sesi Kabinet bermula pada Selasa, para menteri telah membincangkan isu Pejabat Ketua Audit Negara yang runtuh, termasuk punca kejadian serta cadangan daripada pelbagai kementerian.
Beliau berkata setiap kementerian telah diarahkan untuk menilai situasi dan bertindak sewajarnya bagi memastikan proses pencarian fakta berjalan pantas.
Perdana Menteri turut menggesa pihak berkuasa agar tidak menumpukan kepada negara asal syarikat pembinaan, sebaliknya menyiasat semua projek yang dikendalikan syarikat terbabit.
Beliau mengesahkan bahawa bangunan yang runtuh itu merupakan projek usaha sama antara syarikat Thailand dan China, namun menegaskan bahawa syarikat Thailand boleh bekerjasama dengan mana-mana negara dan tumpuan utama harus diberikan kepada aspek teknikal kejadian, bukannya menyalahkan berdasarkan negara asal.
"Ini mengenai akauntabiliti di tapak pembinaan, bukan tentang asal negara syarikat. Kita tidak mahu mana-mana negara salah faham bahawa kita menyalahkan mereka. Ini adalah soal keselamatan pembinaan dan tanggungjawab," katanya.
Paetongtarn turut mengarahkan siasatan bagi menentukan sama ada keluli tidak berkualiti telah diedarkan di tempat lain selepas mendapati bahan binaan yang digunakan tidak memenuhi standard kualiti.
Sementara itu, Pusat Perubatan Kecemasan Bangkok, lebih dikenali sebagai Pusat Erawan, melaporkan pada Selasa bahawa jumlah korban di ibu negara Thailand akibat bencana itu meningkat kepada 20 orang, dengan 34 cedera dan lebih 70 masih hilang.
Menurut pusat tersebut, kebanyakan kematian berlaku daripada bangunan Pejabat Audit Negara yang runtuh di Daerah Chatuchak, di mana 13 mayat telah ditemukan setakat ini.
"Sehingga pukul 8 pagi hari ini (Selasa), 13 kematian telah dilaporkan, manakala lebih 70 orang masih hilang di bangunan Pejabat Audit Negara yang runtuh," katanya.
Pada Jumaat lepas, tapak pembinaan bangunan baharu Pejabat Audit Negara, yang terletak di Daerah Chatuchak berhampiran Stesen Besar Bang Sue, runtuh selepas gegaran kuat akibat gempa bumi di Myanmar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial