NEW DELHI, 5 April (Bernama) -- Kira-kira 250 tetamu, termasuk diplomat ASEAN, warga Malaysia dan tetamu dari India menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi pada Sabtu.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Muzafar Shah Mustafa berkata sambutan itu mencerminkan semangat perpaduan serta tradisi keterangkuman dan keharmonian yang menjadi pegangan rakyat Malaysia.
Pelbagai hidangan popular Malaysia disediakan untuk para tetamu selain beberapa juadah tempatan.
Muzafar berkata sambutan itu bukan sahaja meraikan berakhirnya bulan Ramadan, malah turut mempererat hubungan persahabatan antara semua pihak yang hadir.
“Kepada warga Malaysia di India, terima kasih kerana terus membawa semangat Malaysia dengan penuh kebanggaan dan ketabahan di perantauan. Kepada rakan-rakan dan rakan kerjasama antarabangsa, kami amat menghargai persahabatan dan kerjasama anda,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri kakitangan Suruhanjaya Tinggi dan keluarga mereka, anggota komuniti tempatan India, wakil syarikat Malaysia yang beroperasi di India serta diplomat dari pelbagai negara.
Rumah Terbuka itu diadakan di Dewan Serba Guna Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang dihias bertemakan sambutan Aidilfitri Malaysia termasuk replika rumah kampung.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan