DUNIA > BERITA

AICHR ADAKAN MESYUARAT KHAS DI PULAU PINANG BINCANG PERKEMBANGAN DI RANTAU INI

07/04/2025 09:28 PM

PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) akan mengadakan Mesyuarat Khas 1/2025 di Pulau Pinang dari 8 hingga 10 April, menandakan mesyuarat kedua di bawah pimpinan Wakil Malaysia ke AICHR, Edmund Bon Tai Soon.

Kementerian Luar Negeri yang turut dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, mesyuarat itu akan menghimpunkan kesemua wakil AICHR, termasuk Wakil Timor-Leste sebagai pemerhati, bersama pegawai dari Sekretariat ASEAN.

“Agenda utama mesyuarat termasuk perbincangan mengenai perkembangan terkini di rantau ini, khususnya gempa bumi dahsyat pada 28 Mac yang telah memberi kesan besar kepada penduduk di Myanmar dan Thailand.

"AICHR akan meneliti langkah-langkah tuntas yang boleh diambil bagi menyokong respon yang menyeluruh dan berkesan di peringkat ASEAN terhadap bencana ini,” menurut kenyataan itu.

Turut menjadi tumpuan utama ialah sesi rundingan antara AICHR dan Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Alam Sekitar (ASOEN) pada 8 April 2025 bagi memuktamadkan teks Deklarasi ASEAN mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan, menurut Wisma Putra.

“Dialog bersejarah ini akan didahului dengan lawatan bersama ke Pusat Kajian Marin dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM) bagi berkongsi ilmu serta amalan terbaik mengenai kelestarian alam sekitar dan langkah menangani perubahan iklim,” menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya itu juga akan meneruskan perbincangan mengenai cadangan Malaysia bagi mengusulkan satu Deklarasi ASEAN mengenai hak kepada keamanan dan pembangunan (yang merangkumi aspek sosial, budaya, politik dan ekonomi), pertumbuhan inklusif dan pembangunan mampan – keutamaan di bawah tema Pengerusi ASEAN oleh Malaysia iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan”.

"Satu inisiatif bagi membangunkan hala tuju dan kerangka konsep ASEAN berkaitan keamanan serta pencegahan, pengurusan dan transformasi konflik turut akan dibincangkan dalam mesyuarat ini.

"Selain itu, AICHR akan turut membincangkan hal-hal institusi dan operasi yang bertujuan memperkukuh keberkesanan serta mandatnya dalam memajukan hak asasi manusia di rantau ASEAN," menurut Wisma Putra.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan