LONDON, 11 April (Bernama-SPA) -- Amerika Syarikat terus mendominasi senarai 50 bandar terkaya dunia berdasarkan bilangan jutawan, dengan 11 bandar AS termasuk dalam senarai, menurut laporan Wealthiest Cities in the World 2025 yang dipetik Agensi Berita Saudi (SPA).
New York City kekal di kedudukan teratas dunia dengan dihuni lebih 384,000 jutawan, termasuk 818 individu yang memiliki kekayaan melebihi US$100 juta dan 66 bilionair.
Wilayah San Francisco Bay, termasuk Silicon Valley berada di tempat kedua dengan 342,400 jutawan dan 82 bilionair.
Wilayah itu turut mencatat peningkatan mengagumkan sebanyak 98 peratus dalam jumlah individu berpendapatan tinggi sejak sedekad lalu.
Dubai melonjak pantas dalam kedudukan global, naik dari tangga ke-21 ke tangga ke-18 dalam tempoh setahun.
Bandar raya itu kini menempatkan 81,200 jutawan, 237 individu dengan kekayaan melebihi US$100 juta dan 20 bilionair.
Jumlah individu kaya di Dubai melonjak 102 peratus dalam tempoh 10 tahun, menjadikannya antara yang terpantas berkembang di dunia.
Asia dan Timur Tengah turut menyaksikan pertumbuhan kekayaan yang pesat.
Riyadh mencatat peningkatan 65 peratus, manakala Abu Dhabi mencatat lonjakan 80 peratus, sejajar dengan transformasi wilayah itu sebagai hab kewangan global.
Bandar-bandar di China turut menunjukkan momentum yang kukuh.
Shenzhen di tangga ke-28 mencatat pertumbuhan tertinggi di dunia dengan peningkatan 142 peratus dalam kalangan jutawan, diikuti Hangzhou di tangga ke-35 dengan pertumbuhan 108 peratus.
Sebaliknya, London jatuh satu anak tangga ke kedudukan keenam, dengan penurunan 12 peratus dalam jumlah jutawan sepanjang dekad lalu, menjadikan jumlah terkini kepada 215,700 individu.
Moscow masih tersenarai namun merosot ke tangga ke-40 berikutan penurunan 25 peratus dalam jumlah jutawan.
Laporan itu turut meramalkan bahawa bandar seperti Dubai, Abu Dhabi dan New Delhi bakal menyaksikan pertumbuhan melebihi 100 peratus dalam kalangan individu sangat kaya – mereka yang memiliki kekayaan lebih US$100 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Walaupun tiada bandar dari benua Afrika atau Amerika Tengah tersenarai dalam 50 bandar utama, laporan itu menyenaraikan beberapa bandar pesat membangun di Afrika yang dijangka bakal menggandakan jumlah individu kaya menjelang sedekad akan datang — termasuk Cape Town (34 orang), Marrakech (14) dan Nairobi (10).
-- BERNAMA-SPA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial