DUNIA > BERITA

RCEP PELUANG PACU INTEGRASI SERANTAU DAN PERTUMBUHAN EKONOMI

11/04/2025 10:20 PM

Oleh Wong Cheng Hau and Ahmad Erwan Othman

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Perkongsian  Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bukan sekadar rangka kerja ekonomi, malah menjadi pemacu kepada kerjasama serantau yang lebih mendalam, pertumbuhan mampan dan pembangunan global, kata Timbalan Pengarah Institut Xinhua, Zhu Zhibin.

Berucap pada Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China 2025 di sini, Jumaat, beliau menggambarkan RCEP dengan tiga kata kunci - “peluang”, “hati rakyat” dan “harapan”.

Beliau berkata perjanjian itu menawarkan peluang besar kepada negara-negara anggota dengan menyuntik momentum baharu dalam pembangunan serantau serta membuka laluan baharu kepada kemakmuran ekonomi.

“Bagi ‘hati rakyat’, ia tercermin menerusi pertukaran budaya dan interaksi antara rakyat yang semakin kerap.

“Manakala ‘harapan’ pula jelas dizahirkan menerusi projek mercu tanda seperti Kereta Api China-Laos yang bukan sahaja meningkatkan hubungan serantau, malah merangsang pertumbuhan ekonomi dan memperbaiki taraf hidup rakyat,” katanya.

Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China 2025 yang diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini, menjadi platform kepada pakar media dan akademik dari rantau ini dan China untuk membincangkan secara mendalam pelbagai isu berkaitan ASEAN dan komuniti global.

RCEP yang mula berkuat kuasa pada Januari 2022 merupakan perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia, melibatkan 15 negara termasuk 10 negara anggota ASEAN, China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

-- BERNAMA  

TAG: RCEP, ASEAN, China, ekonomi, pertumbuhan  


WCH AEO VMP MK


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan