PETALING JAYA, 11 April (Bernama) -- Perayaan Songkran, sambutan Tahun Baharu tradisional Thailand yang dianjurkan di Malaysia, mampu memperkukuh hubungan diplomatik hampir tujuh dekad antara kedua-dua negara, kata Duta Thailand ke Malaysia, Lada Phumas.
“Penganjuran Festival Songkran di Malaysia menjadi jambatan antara dua budaya yang indah. Songkran adalah masa terbaik untuk memupuk persahabatan antara dua negara,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Festival Songkran Perdana Malaysia 2025 di sini, Jumaat.
Dalam ucapan perasmiannya, Lada berkata festival itu turut menjadi platform bagi memperluas kerjasama promosi perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan Thailand.
“Beberapa perniagaan dari Thailand turut menyertai festival ini bagi memperkenalkan sajian asli Thailand, minuman serta produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi yang boleh diterokai di lebih 40 gerai sekitar kawasan festival,” katanya.
Menurut beliau, acara itu juga memberi peluang kepada rakyat Malaysia merasai sendiri keunikan sambutan Songkran termasuk aktiviti menyimbah air, tradisi menuang air kepada warga emas, tarian Songkran, muzik dan persembahan Thailand.
Lada berkata festival Songkran Thailand telah diiktiraf dalam Senarai Perwakilan UNESCO bagi Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan pada 2023, sekali gus membuktikan kepentingannya sebagai simbol kegembiraan, perpaduan dan pembaharuan di peringkat global.
Festival Songkran Perdana Malaysia 2025, yang membawa semangat Songkran ke Malaysia, berlangsung dari 10 hingga 20 April di Pusat Membeli-Belah 1Utama di sini.
Menurut Lada, penganjuran tahun ini merupakan yang terbesar pernah diadakan di Malaysia dengan kerjasama Kedutaan Diraja Thailand di Kuala Lumpur.
Bernama sebelum ini melaporkan Kementerian Perpaduan Negara Malaysia dengan kerjasama Persatuan Siam Malaysia turut menganjurkan Festival Songkran Kebangsaan dari Jumaat hingga 13 April di Dewan Songkran, Kampung Tasek, Daerah Pengkalan Hulu, Perak.
Festival Songkran merupakan perayaan penting dalam kalangan komuniti Bumiputera Siam di Malaysia yang menandakan ketibaan tahun baharu dengan rasa kesyukuran dan kegembiraan.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata dalam satu kenyataan pada Isnin Festival Songkran adalah platform penting untuk memperkenalkan tradisi, seni dan budaya etnik minoriti Siam kepada rakyat Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial