DUNIA > BERITA

LAWATAN PRESIDEN XI JINPING CETUS HARAPAN PERKUKUH HUBUNGAN DUA HALA

13/04/2025 04:22 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Di saat Malaysia bersiap sedia mengalu-alukan lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping pada Selasa, harapan tinggi disandarkan agar kunjungan itu dapat mempererat hubungan dua hala serta merangsang pelaburan bernilai tinggi dan kerjasama dalam bidang teknologi.

Penasihat Utama di Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia, Dr Oh Ei Sun berkata lawatan itu telah lama dinantikan memandangkan ia merupakan lawatan pertama Xi ke Malaysia sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2022.

“Hubungan dua hala Malaysia-China sememangnya kukuh. Namun masih ada ruang kerjasama yang boleh diperluas dan diperkukuh.

“Dengan ketibaan Presiden Xi, kita berharap akan ada lebih banyak pelaburan berasaskan teknologi tinggi dan bernilai tambah dari China – contohnya penubuhan kilang-kilang yang mampu menjana peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia.

"Ini juga diharap dapat membawa kepada pemindahan teknologi,” katanya kepada Bernama.

Xi dijadual mengadakan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia bermula Selasa, atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Kunjungan itu merupakan lawatan rasmi kedua beliau ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan terakhirnya pada 2013.

Sepanjang lawatan, beliau dijadual menghadap Sultan Ibrahim dan mengadakan pertemuan dua hala bersama Anwar.

Dr Oh turut menyuarakan harapan agar inisiatif infrastruktur baharu seperti projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dapat memperkukuh jaringan hubungan antara kedua-dua negara.

“Apabila projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hampir siap, kita boleh menjangkakan inisiatif baharu seperti HSR.

“China berpotensi menawarkan pinjaman mudah dan menyertai pembinaan projek itu. Saya percaya usaha sebegini mampu mengekalkan momentum kerjasama erat antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya Malaysia dan China bekerjasama menangani halangan bukan tarif (NTB) bagi meningkatkan lagi akses pasaran.

“Perdagangan antara Malaysia dan China sememangnya besar, tetapi boleh berkembang lebih pesat jika kita menghapuskan halangan bukan tarif – seperti yang melibatkan eksport durian dan sarang burung.

“Kedua-dua negara merupakan anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), jadi halangan seperti ini tidak sepatutnya wujud – namun realitinya masih ada.

"Saya yakin jika perkara ini ditangani secara tuntas, jumlah dagangan kita akan meningkat dengan ketara,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Oh turut menekankan kepentingan memperkukuh hubungan antara rakyat sebagai asas kerjasama jangka panjang dalam bidang pendidikan, perniagaan dan teknologi.

“Saya percaya kekuatan sebenar terletak pada jalinan hubungan antara rakyat.

"Sebagai contoh, jika lebih ramai pelajar menuntut di universiti masing-masing, secara semula jadi akan wujud keserasian dalam bidang perniagaan dan teknologi pada masa depan.

“Ini kerana mereka akan lebih memahami budaya masing-masing. Bagi saya, elemen ini amat penting,” katanya.

Malaysia dan China meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada tahun lalu, menandakan detik penting dalam persahabatan dua hala.

Kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974, dan menaik taraf hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013. Sejak itu, hubungan Malaysia-China terus diperkukuh.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah US$106.04 bilion (RM484.12 bilion) pada 2024, merangkumi 16.8 peratus daripada jumlah dagangan global Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan