SYDNEY, 13 April (Bernama-Xinhua) -- Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mengetuai upacara penghormatan kepada mangsa tragedi serangan tikaman di sebuah pusat beli-belah di Sydney setahun selepas insiden berdarah itu, lapor Xinhua.
Ahad menandakan genap setahun sejak Joel Cauchi menikam 16 orang di pusat beli-belah Bondi Junction di timur Sydney, menyebabkan enam orang maut dan 10 cedera.
Upacara peringatan diadakan di lokasi kejadian dengan kehadiran pemimpin kerajaan dan penguat kuasa undang-undang, serta ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa bagi memperingati tragedi serta merasmikan sebuah tugu peringatan.
Dalam kenyataannya, Albanese berkata rakyat Australia akan bertafakur sejenak untuk mengingati mereka yang “diragut nyawanya secara kejam.”
“Ini sepatutnya bukan satu ulang tahun. Mereka sepatutnya masih bersama kita — bersama keluarga, rakan dan komuniti masing-masing, menggapai impian dan menikmati kebahagiaan hidup,” katanya.
Beliau turut menyifatkan insiden itu sebagai detik “kekejaman" dan merakam penghargaan kepada pasukan kecemasan serta orang awam yang tampil membantu mangsa.
Cauchi maut ditembak Inspektor Amy Scott dari Polis New South Wales (NSW).
Susulan kejadian itu, kerajaan Australia menganugerahkan taraf penduduk tetap kepada dua lelaki dari Perancis dan Pakistan yang berani berhadapan dengan Cauchi ketika serangan berlaku.
Scott turut hadir pada majlis peringatan itu.
Pesuruhjaya Polis NSW, Karen Webb menyifatkan serangan itu sebagai antara peristiwa paling mengerikan dalam sejarah Australia.
“Ingatan kami tetap bersama keluarga mangsa yang terus menanggung kesedihan mendalam dan berusaha meneruskan hidup,” katanya.
Kerajaan negeri NSW mengumumkan satu inkues koroner yang dijadual bermula 28 April hingga 30 Mei.
Inkues itu bakal menyiasat latar belakang Cauchi, pergerakannya, motif serangan jika ada, serta tindakan balas kecemasan yang diambil.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial