DUNIA > BERITA

RAKYAT MALAYSIA DI CHINA, JEPUN SAMBUT AIDILFITRI DALAM SUASANA PERPADUAN DAN TRADISI

13/04/2025 05:43 PM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Beribu-ribu kilometer jauhnya dari tanah air, diaspora Malaysia di selatan China dan Jepun berhimpun dalam suasana penuh harmoni dan kegembiraan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, menghidupkan kembali semangat perayaan menerusi hidangan tradisional, ukhuwah dan budaya.

Menurut kenyataan Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou, satu majlis sempena Hari Raya telah diadakan pada Sabtu untuk komuniti Malaysia yang menetap di wilayah Guangdong dan Fujian.

Konsul Jeneral Malaysia ke Guangzhou, Suraya Pauzi berkata bahawa sambutan seperti ini merupakan antara peluang yang jarang-jarang diperoleh untuk rakyat Malaysia di luar negara berkumpul dan meraikan warisan budaya bersama.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Konsul Jeneral Indonesia, Singapura, Filipina dan Laos, menzahirkan semangat solidariti ASEAN.

Kira-kira 250 rakyat Malaysia menghadiri majlis itu termasuk golongan profesional, pelajar serta ahli keluarga masing-masing.

Turut hadir Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah dan Selangor, Dr Haim Hilman Abdullah dan Ng Sze Han, yang sedang dalam lawatan kerja ke Guangzhou, serta para Konsul Jeneral dari negara-negara ASEAN.

Sementara itu, suasana Aidilfitri turut dirasai di Tokyo menerusi majlis sambutan di Kedutaan Besar Malaysia dan dianjurkan oleh Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany dan isteri, Datin Suriyah Abdullah.

Sambutan di Tokyo itu dihadiri oleh rakyat Malaysia yang menetap di Jepun, termasuk para pelajar serta rakan-rakan jemputan daripada kalangan warga tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan