DUNIA > BERITA

XI BERHARAP USAHA SAMA CHINA-MALAYSIA LAKAR "50 TAHUN KEEMASAN" HUBUNGAN DUA HALA

15/04/2025 09:50 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Presiden China Xi Jinping berharap lawatan negaranya ke Malaysia akan mengukuhkan lagi persahabatan antara kedua-dua negara, menyambut "50 tahun keemasan" dalam hubungan China-Malaysia.

Dalam satu kenyataan bertulis setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk memulakan lawatan negara tiga harinya, di sini, Selasa, Xi berkata beliau yakin dengan usaha bersama China dan Malaysia, ini akan menjadi lawatan yang membuahkan hasil.

"Dengan lawatan ini, saya berharap dapat memperdalam lagi persahabatan tradisional kita, meningkatkan kepercayaan politik, memajukan kerjasama dalam pemodenan, menggalakkan pembelajaran bersama antara tamadun, dan meningkatkan tahap baharu dalam membangunkan komuniti China-Malaysia dengan masa depan bersama.

“Saya yakin dengan usaha bersama, lawatan ini akan membawa hasil yang memberangsangkan. Kita bersama akan membuka lembaran baharu dalam hubungan kejiranan yang baik dan kerjasama saling menguntungkan, serta memulakan satu lagi era “50 tahun keemasan” dalam hubungan China-Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan China di Kuala Lumpur.

Xi turut menzahirkan penghargaan atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk melawat Malaysia secara rasmi.

“Dua belas tahun lalu, saya mengadakan lawatan negara pertama saya ke Malaysia dan membawa pulang kenangan manis yang sukar dilupakan.

“Kembali semula hari ini mengundang rasa hangat di hati. Bagi pihak kerajaan dan rakyat China, saya ingin merakamkan salam sejahtera dan ucapan tulus ikhlas kepada kerajaan dan rakyat Malaysia,” katanya.

Presiden itu turut menyatakan bahawa hubungan diplomatik yang terjalin lebih setengah abad lalu telah menjadi contoh hubungan antara negara berasaskan saling menghormati, mempercayai dan bekerjasama untuk manfaat bersama.

“Sepanjang lawatan ini, saya akan bertukar pandangan dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hubungan dua hala serta isu antarabangsa dan serantau yang menjadi kepentingan bersama,” katanya.

Pada 2023, kedua-dua negara mencapai kesepakatan penting untuk membina komuniti berkongsi masa depan China-Malaysia.

Tahun lalu juga menyaksikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia.

“Kedua-dua China dan Malaysia adalah negara membangun utama serta anggota Selatan Global.

“Memperkukuh kerjasama strategik peringkat tinggi kita adalah baik untuk kepentingan bersama kedua-dua negara serta menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau dan global,” tambah Xi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan