DUNIA > BERITA

TUN ABDULLAH MAIN PERANAN PENTING DALAM MEMAJUKAN HUBUNGAN SINGAPURA-MALAYSIA

15/04/2025 11:29 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 15 April (Bernama) -- Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah seorang sahabat kepada Singapura dan berperanan penting dalam memajukan pelbagai isu dua hala antara negara itu dan Malaysia.

Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, dalam surat kepada isteri Abdullah, Tun Jeanne Abdullah, menyifatkan bekas Perdana Menteri Malaysia itu sebagai seorang yang mesra tetapi tegas dan sentiasa bersedia untuk memajukan perbincangan dalam semangat kerjasama membina dan sokongan bersama.

“Kami terhutang budi kepada Tun Abdullah atas persahabatan beliau selama ini,” katanya. Teks surat bertarikh 14 April itu dikongsi oleh Kementerian Luar Singapura pada Selasa.

Wong berkata Abdullah akan dikenang oleh semua sebagai seorang yang mesra dan pemurah, serta akan sentiasa dirindui.

“Walaupun ketika menjadi perdana menteri, beliau kekal merendah diri dan memimpin Malaysia dengan kebijaksanaan serta belas ihsan,” katanya.

Abdullah, yang mesra disapa “Pak Lah”, meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada Isnin. Jenazah beliau dikebumikan di Makam Pahlawan pada Selasa.

Sementara itu, dalam surat berasingan kepada rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Wong berkata sepanjang pentadbiran Abdullah, kedua-dua negara mencapai kemajuan dalam menyelesaikan pelbagai isu dua hala yang berlarutan.

“Sebagai contoh, kedua-dua negara bersetuju mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengenai kedaulatan Batu Putih dan Batuan Tengah. Sekalipun berdepan kesukaran, Abdullah sentiasa berinteraksi secara membina dan sering meredakan ketegangan dengan sikap mesranya,” katanya.

Singapura dan Malaysia turut memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama, termasuk pembangunan Iskandar Malaysia.

Wong berkata Abdullah turut menaikkan profil ASEAN di peringkat antarabangsa dan mempertahankan semangat serantau ketika dunia melalui perubahan besar.

“Sebagai Perdana Menteri Malaysia dari 2003 hingga 2009, Tun Abdullah menjadi inspirasi kepada ramai orang,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan