DUNIA > BERITA

MALAYSIA SASAR 4.3 JUTA PELANCONG INDONESIA PADA 2025 - TOURISM MALAYSIA

17/04/2025 08:03 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

SURABAYA (Jawa Timur), 17 April (Bernama) -- Malaysia menyasarkan ketibaan lebih 4.3 juta pelancong dari Indonesia pada 2025, berdasarkan permintaan perjalanan serantau yang kukuh dan kesalinghubungan udara yang diperluas, dengan unjuran menunjukkan peningkatan kepada 4.7 juta pelawat pada 2026.

Sasaran itu yang didedahkan oleh Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Yeoh Soon Hin semasa jerayawara untuk mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 di sini, mewakili usaha diperbaharui untuk meningkatkan ketibaan pelancong daripada antara pasaran sumber paling penting di Malaysia.

Setakat Februari tahun ini, lebih 770,000 warga Indonesia telah melawat Malaysia, peningkatan hampir 15 peratus berbanding tempoh sama pada 2024, didorong oleh hubungan dua hala yang kukuh dan minat berterusan terhadap Malaysia sebagai destinasi percutian.

“Indonesia kekal sebagai sumber pelancongan kedua terbesar kami. Kami melihat ini sebagai petanda menunjukkan pemulihan kukuh pascapandemik serta minat yang semakin meningkat terhadap tawaran Malaysia,” kata Yeoh dalam taklimat media di sini pada Khamis.

Beliau berkata hubungan udara antara kedua-dua negara kini berada pada tahap tertinggi dengan 591 penerbangan terus setiap minggu dengan lebih 106,000 tempat duduk tersedia, menjadikan Malaysia lebih mudah diakses berbanding sebelum ini bagi pengembara dari Indonesia.

Bagi menggalakkan lagi perjalanan, agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu turut menawarkan pelbagai geran dan pakej nilai tambah yang direka bagi mengurangkan kos dan meningkatkan kemudahan.

Ini termasuk Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa dan Carter (GSPC), kempen kolaboratif dengan platform perjalanan dalam talian serta insentif untuk kumpulan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

Pelancongan perubatan juga menjadi tumpuan utama, dengan pakej menarik dari hospital-hospital Malaysia dipromosikan untuk menjadikan pemeriksaan dan prosedur kesihatan lebih mudah diakses oleh pesakit Indonesia.

“Kami mengetengahkan taman tema yang meriah dan destinasi membeli-belah yang menarik, semuanya dirangsang oleh acara jualan di seluruh negara seperti Jualan Super Malaysia dan Jualan Akhir Tahun yang mendapat sokongan padu daripada peruncit, hotel dan syarikat penerbangan,” kata Yeoh.

Pengerusi Persatuan Industri Pelancongan Indonesia (ASPPI) di Jawa Timur, Eko Mujiono yang menyambut baik inisiatif itu berkata industri pelancongan tempatan bersedia menyokong usaha itu.

“Kami bersedia untuk bekerjasama dalam meningkatkan jumlah pelancong Indonesia yang melawat Malaysia, bekerja melalui rangkaian kami di seluruh Jawa Timur, termasuk promosi pakej pemeriksaan perubatan. Dengan sehingga 11 penerbangan terus sehari, potensi itu ada," katanya.

Pada masa ini, terdapat sehingga sembilan penerbangan harian dari Surabaya ke Kuala Lumpur dengan laluan  tambahan ke destinasi lain seperti Johor dan Pulau Pinang, seterusnya meningkatkan lagi kebolehcapaian.

Yeoh pada jerayawara itu turut disertai Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa Asia Tenggara Tourism Malaysia Salinda Sany dan Pengarah Tourism Malaysia Jakarta Hairi Mohd Yakzan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan